AirAsia mahu jana RM2.5 bilion, semak operasi di Jepun


AirAsia berharap dapat menjana RM1.5 bilion daripada pinjaman bank dan RM1 bilion lagi daripada pelabur dalam dan luar negara menjelang hujung tahun, kata Tony Fernandes. – Gambar EPA, 8 September, 2020.

AIRASIA mahu menjana RM2.5 bilion menjelang hujung tahun ini, kata CEO Tont Fernandes kepada Reuters.

Syarikat penerbangan itu yang terjejas teruk kerana wabak Covid-19, juga akan menyemak semula operasinya di Jepun, kata Fernandes.

Kumpulan itu berharap dapat menjana RM1.5 bilion daripada pinjaman bank dan RM1 bilion lagi daripada pelabur dalam dan luar negara.

Kekangan aliran tunai memaksa syarikat menyemak semula operasi di Jepun dan India serta pada masa sama melakukan penstrukturan dan pengecilan operasi.

Laporan pada Jun berkata hampir 170 juruterbang dan lebih 100 krew penerbangan akan diberhentikan dan secara keseluruhannya hampir 3,000 pekerja dalam dan luar negaranya akan terjejas.

Pada pertengahan Ogos lalu, syarikat penerbangan itu menyambung semula penerbangan antara Kuala Lumpur dan Singapura dan beberapa destinasi antarabangsa lain.

Sementara itu, syarikat penyewaan pesawat BOC Aviation sudah memfailkan notis tuntutan di UK terhadap AirAsia X untuk bayaran tertunggak sebanyak AS$23 juta *RM95.4 juta).

AirAsia X dikatakan menyewa empat pesawat daripada BOC Aviation.

BOC Aviation mendakwa AirAsia X melanggar perjanjian sewa dan tanggungjawab di bawah empat jaminan bertarikh Disember 2018. – 8 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen