Kitab suci Kristian dipesong atau diubah?


SURAT terbuka ini ditujukan dengan penuh hormat kepada Ahli Parlimen Pasir Puteh Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Yang Berhormat,

Saya merujuk kepada kenyataan Yang Berhormat di Dewan Rakyat pada 26 Ogos, 2020 bahawa kitab Injil, iaitu kitab suci umat Kristian, telah dipesongkan atau diubah. Kenyataan yang diucapkan itu melukakan perasaan orang Kristian di negara kita.

Tetapi apa yang lebih penting lagi adalah hakikat bahawa kenyataan Yang Berhormat itu sebenarnya salah dan tidak sesuai dengan fakta sejarah.

1.  Seperti Yang Berhormat, saya juga menceburi bidang pengajian dialog antara agama. Setahu saya, Al-Quran memperakui kesahihan semua kitab suci yang disampaikan kepada para nabi dan Yesus sebagaimana yang diwahyukan oleh Allah untuk mengesahkan kesemua kitab suci itu (Al-‘Imran ayat 3, Fatir ayat 31, Yunus ayat 37, Al-Baqarah ayat 97 dan 285, Al-Nisa ayat 47).

Sangat logik untuk difikirkan jika terdapat sebarang korupsi di dalam Injil Kristian sebelum kedatangan Nabi Muhammad, Allah sudah tentunya memberi amaran kepada Rasulullah tentang kepalsuan yang akan berlaku.

Namun demikian, apa yang kita lihat daripada Al-Quran adalah pengiktirafan kepada kebenaran Kitab Suci orang Kristian.

2.  Nabi Muhammad sendiri, ketika masa hidupnya sebagai nabi kepada umat Islam, tidak pernah meragui kebenaran Injil. Beliau menegaskan kitab Taurat (yang menjadi Kitab bagi orang Yahudi) dan Injil (Kitab bagi orang Kristian) adalah alat yang boleh dipercayai untuk membuktikan kebenaran ajaran beliau.

Beberapa petikan daripada Al-Quran secara tersirat dan dengan jelas mengesahkan bahawa umat Kristian dan Yahudi, juga dikenali oleh umat Islam pada zaman itu sebagai “ahli kitab”, supaya mengkaji dan mengamalkan kandungan daripada setiap kitab-kitab suci (Al-Baqarah ayat 41 dan 79, Al-‘Imran ayat 71, Al-Maidah ayat 47, Al-Nisa ayat 47).

Sebenarnya, terdapat tuduhan dalam Al-Quran bahawa orang Yahudi mengubah ayat kitab suci mereka (Al-Baqarah ayat 59, Al-‘Araf ayat 162). Akan tetapi, tuduhan sebegitu terhadap penganut Kristian tidak wujud sama sekali.

Malah, kesahihan terjemahan Alkitab kita tidak pernah dipersoalkan sehinggalah 1046 Masihi, iaitu lebih 400 tahun selepas kewafatan Rasulullah.

3. Pada 1046 Masihi, setelah menjumpai percanggahan antara kandungan Alkitab dan Al-Quran, Ibn-Hazm menuduh Alkitab diubah dan dipesongkan: “Memandangkan Quran adalah semestinya benar, tulisan Injil yang bercanggah itu adalah palsu. Namun Muhammad memberitahu kita untuk menghormati Injil. Oleh itu, teks yang ada pada masa sekarang tentulah telah dipalsukan oleh orang Kristian selepas zaman Muhammad.”

Ibn-Hazm berpendapat sedemikian: “Jika kita membuktikan kepalsuan dalam buku mereka, mereka akan kalah dalam hujah yang diambil daripada mereka.”

Malah, beliau mempropagandakan “orang Kristian kehilangan Injil yang diturunkan kecuali sedikit jejak yang ditinggalkan oleh Allah sebagai bantahan terhadap mereka”.

Akan tetapi, pandangan Ibn-Hazm tidak mendapat sokongan sebulat suara di kalangan para sarjana Islam.

Ramai sarjana Islam lain yang tidak berpegang kepada pendapat beliau. Sarjana Islam berikut adalah mereka yang menerima ketulenan teks Injil: Ali al-Tabari (meninggal pada 855 Masihi), Amr al-Ghakhiz (869 Masihi), Bukhari (810-870 Masihi), Al-Mas’udi (956 Masihi), Abu Ali Husain Bin Sina (1037 Masihi), Al-Ghazzali (1111 Masihi), Ibn-Khaldun (1406 Masihi), Tuan Sayyid Ahmad Khan (Pengasas Kolej Aligarh), dan Fakhruddin Razi.

4. Sebagai seorang ahli akademik, saya pasti Yang Berhormat sedar walaupun tuduhan sering dibuat tentang bagaimana umat Kristian mengubah kitab Injil, tidak ada sebarang bukti kukuh yang memihak kepada tanggapan ini.

Lagipun, adalah sukar untuk melihat kemungkinan kedua-dua orang Yahudi dan Kristian, yang mana memegang kitab suci mereka sebagai penjaga simpanan yang sangat penting dalam keimanan, akan pula merosakkan kandungan kitab suci mereka yang bertujuan untuk diturunkan kepada anak dan cucu-cicit mereka supaya keturunan mereka akan menerima simpanan iman kepercayaan yang sudah tercemar.

Malah, Alkitab Kristian mengandungi petikan yang menunjukkan bagaimana orang Yahudi serta orang Kristian tidak dibenarkan untuk mengubah kitab sesuka hati mereka (Ulangan 4:2, 13:1; Amsal 30:5, 6; Wahyu 22:18,19).

Sebagai tambahan, bermulanya kemunculan Islam, Alkitab telah pun disebarkan ke seluruh dunia sehinggakan cubaan untuk mencemarkan kandungannya untuk tujuan penterjemahan sebenarnya amatlah mustahil.

Orang Yahudi dan Kristian menduduki kebanyakan penempatan di Eropah, India, Parsi, Mesopotamia, Armenia, Asia Kecil, Palestin, tanah Arab, Ethiopia, Mesir dan seluruh Afrika Utara.

Selain itu, orang Yahudi dan Kristian bertentangan dengan satu sama lain menjadikan sebarang percubaan oleh salah satu pihak untuk merosakkan kitab suci pastinya mendapat reaksi provokasi oleh pihak bertentangan.

Namun, sehingga hari ini, orang Yahudi terus memegang kitab Perjanjian Lama dalam bahasa Ibrani manakala orang Kristian terus menyanjungi kitab Perjanjian Baru dalam bahasa Yunani.

Perlu diingatkan juga pada zaman awal perkembangan Islam, agak banyak bilangan orang Yahudi dan Kristian yang memeluk Islam. Golongan yang baru bertukar agama inilah yang terbaik untuk membuka pekung orang Yahudi dan Kristian jika terdapat kerosakan pengubahan kitab suci mereka.

Namun, sehingga kini tidak terdapat sebarang rekod salinan sama ada kitab Taurat ataupun Injil dibuktikan tuduhannya telah dipinda.

5. Pada 1947, seorang gembala Badwi bernama Muhammad (Ahmed el-Dhib) sedang mencari kambingnya yang hilang dan terjumpa bukaan kecil sebuah gua di sepanjang Laut Mati. Peristiwa kecil ini akhirnya membawa kepada penemuan sejumlah besar skrol – salinan Kitab Perjanjian Lama – dibuat dan tersembunyi di sana oleh mazhab Yahudi yang dipanggil Essenes yang mana berundur ke padang pasir Qumran dari seawal abad ketiga Sebelum Masihi.

Antara 1952 dan 1956, penyelidikan selanjutnya mendedahkan ribuan manuskrip lain yang berharga di dalam 10 gua berlainan yang berdekatan. Ini juga dikenali sebagai Skrol Laut Mati.

Para sarjana menggunakan pelbagai alat dan kaedah untuk mengetahui tarikh usia sesuatu benda telah mencapai kesimpulan sebulat suara bahawa skrol ini bertarikh antara abad ketiga sebelum Masihi dan abad pertama Masihi. Walaupun kebanyakan teks ini ditulis dalam bahasa Ibrani, terdapat juga skrol yang ditulis dalam bahasa Aramaik dan Yunani.

Sehinggalah pencarian di Qumran ini, manuskrip Perjanjian Lama tertua yang ada dalam pegangan kita adalah salinan daripada manuskrip dari abad ke-9 dan ke-10 Masihi. Namun dengan skrol dari Qumran ini, kita sekarang mempunyai manuskrip yang berusia lebih daripada ribuan tahun.

Fakta yang menakjubkan adalah semua manuskrip dari kedua-dua era tersebut dikaji dan dikenal pasti mempunyai perbezaan yang begitu kecil, oleh kerana faktor salinan, sehingga langsung tidak mempengaruhi maksud kepada teks asal.

Manuskrip terawal yang lain daripada Alkitab yang ada pada tangan kita pada hari ini merupakan kelangsungan konsistensi yang berterusan sesuai dengan penterjemahan yang terbaru.

Manuskrip purba ini ditulis di atas kertas kulit dan kesahihannya disokong sebulat suara oleh kedua-dua golongan ulama dan ilmuwan sekular.

A) Siniatik (Codex Sinaiticus) ditulis pada pertengahan abad ke-4, lebih kurang 270 tahun sebelum kemunculan Islam. Manuskrip ini mengandungi kesemua Perjanjian Baru dan sebahagian besar daripada Perjanjian Lama. Ia dipelihara dengan baik di Muzium British di London.

B) Aleksandria (Codex Alexandrinus) ditulis pada awal abad ke-5, lebih 200 tahun sebelum kemunculan Islam. Manuskrip ini mengandungi keseluruhan alkitab kecuali beberapa muka surat yang tercicir dan hilang. Ia juga dipelihara dengan baik di Muzium British di London.

C) Vatikan (Codex Vaticanus) ditulis awal abad ke-4 empat, lebih 200 tahun sebelum kemunculan Islam. Ia mengandungi keseluruhan kandungan Alkitab meskipun bahagian daripada Ibrani 4:14 dan selebihnya hanya ditulis oleh pakar agama kemudiannya. Ia disimpan di dalam Perpustakaan Vatikan di Roma.

D) Codex Ephraemi pula ditulis diawal abad ke-5, lebih kurang 200 tahun sebelum munculnya Islam. Ia wujud dalam bentuk serpihan, mengandungi muka surat dari setiap buku daripada Alkitab. Ia disimpan rapi di dalam Perpustakaan Nasional di Paris.

Dengan mengambil kira semua yang dibentangkan, ini bukti Alkitab yang digunakan orang Kristian bukan saja bebas daripada sebarang kerosakan, malah lebih lagi, kesinambungan mesej dari versi terawal kepada yang lain sangat menakjubkan dan dipelihara dengan begitu teliti sekali di sepanjang zamannya.

Yang Berhormat, fakta yang saya kemukakan di atas bukan bermaksud untuk memburukkan kepercayaan agama lain atau memujuk orang lain untuk menukar agama mereka.

Sebagai rakyat Malaysia, kita harus saling menghormati kebudayaan dan kepercayaan antara sesama agar masyarakat kita dapat wujud secara berharmoni. Tetapi, sebagai seorang umat Kristian dan ahli akademik, ia juga menjadi tanggungjawab saya untuk menjelaskan fakta yang salah mengenai agama saya yang disebarkan secara terbuka, kerana ucapan sebegini berpotensi untuk mempengaruhi persepsi orang yang kurang pemahaman.

Seperti Yang Berhormat, ini bidang pengajian saya, dan saya sama sekali tidak berhasrat untuk memburukkan mana-mana agama.

Saya dan semua umat Kristian di Malaysia akan terus berdoa agar masyarakat kita dapat mencapai kebahagiaan dan kedamaian yang kita idamkan.

Sekian sahaja. Terima kasih. – 7 September, 2020.

* Dr Sherman Kuek OFS ialah diaken Katolik.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Kristen Terbukti Sesat

    PENELITIAN MODERN MEMBONGKAR 82% ISI INJIL PALSU,HAMPIR 100& INJIL YOHANNES PALSU.

    Dalam tahun 1993 di Kota Sanoma, California,USA,disponsori Westar Institute injil2 diseminarkan oleh 76 AHLI DARI BERBAGAI KALANGAN, yakni:

    1)Guru-guru besar berbagai universitas terkenal di dunia.
    2)Para ahli ilmu theologi katolik dan protestan.
    3)Ahli kitab suci
    4)Ahli bahasa ibrani,dan lain-lain.

    Yang semuanya tidak ada orang Islam..

    Injil yang diseminarkan ada 5 :I NJIL MATIUS, MARKUS, LUKAS, YOHANES DAN THOMAS.

    Tema seminar:

    What did Jesus really say?The search for the AUTHENTIC words of Jesus(apa yang benar2 Yesus ucapkan?Mencari ucapan asli dari Yesus).

    hasil akhir penelitian mengejutkan.

    82% KATA2 YANG DI ANGGAP DARI YESUS ADALAH BUKAN UCAPAN YESUS/PALSU.

    TRAGISNYA,HASIL PENELITIAN MENUNJUK KAN,HAMPIR 100% INJIL YOHANES BUKANLAH UCAPAN YESUS/PALSU. DARI 878 AYAT INJIL YOHANES,873 AYAT BUKAN UCAPAN YESUS/PALSU.

    OTAK AYAT TRINITAS, yakni Yohanes pasal 1 ayat 1 dan 4,dalam buku Five Gospels,terbitan Herper San Fransisco, yg dikomentari Robert W Funk dan Roy W Hoover, ternyata BUKAN UCAPAN YESUS,ALIAS PALSU, MALAH IA CUMA KATA2 HIKMAH OLEH AHLI FALSAFAH YUNANI YG JIGA PENULIS ALKITAB

    Dimuat naik 2 tahun yang lalu oleh Shaharuddin Ahmad · Ulasan

  • Adakah ini kebaikan rakyat atao kebaikan diri untuk menaikkan hal ini.

    Dimuat naik 1 tahun yang lalu oleh Oren chin · Ulasan