Prosiding PAC tertangguh tanpa ahli baharu, kata pengerusi


Ragananthini Vethasalam

Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata jawatankuasa itu hanya boleh memulakan prosiding sebaik saja ahli baharu dilantik, kemungkinan pada sesi Parlimen November depan. – Gambar fail The Malaysan Insight, 7 September, 2020.

PROSIDING Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung laporan ketua audit negara berkenaan pemerolehan dan proses kerajaan hanya boleh dilaksanakan selepas pelantikan ahli baharu, kata pengerusi baharu jawatankuasa itu, Wong Kah Woh.

Beliau berharap ahli PAC dapat dilantik [ada persidangan Parlimen berikutnya pada November supaya jawatankuasa itu dapat memulakan tugasnya.

“Berikutan ahli (PAC) belum dilantik, prosiding kami hanya dapat dimulakan paling awal pada November ketika Parlimen bersidang.

“Saya harap pelantikan dapat dilakukan pada hari pertama sesi, dan kemudian kami dapat menyusun jadual,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Terdapat tiga Laporan Ketua Audit Negara yang belum dikaji PAC. Ia adalah laporan Siri 2 dan 3 bagi 2018 dan laporan Siri 1 2019.

“Jawatankuasa PAC sebelum ini membincangkan perkara yang akan disiasat lebih lanjut.

“Keutamaan kami sekarang adalah menyelesaikan kes lama di mana laporan masih belum selesai. Kemudian kami akan membuka prosiding baru untuk ketiga-tiga laporan ketua audit negara,” katanya.

Beliau berkata ada tiga laporan PAC yang akan dibentangkan, namun jawatankuasa yang ahlinya masih belum dilantik itu boleh menyebabkan prosiding ditunda.

Antara laporan yang akan dibentangkan ialah mengenai Sekolah Sukan Perlis di bawah Kementerian Pendidikan dan urus niaga tanah yang melibatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), yang kedua-duanya sudah mengadakan mesyuarat penyelarasan namun bukan mesyuarat pengesahan.

Wong berkata terdapat juga draf laporan PAC yang belum dapat diselesaikan oleh jawatankuasa pada Julai tahun ini.

Ia termasuk laporan mengenai pengurusan pekerja asing oleh Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen.

Pada 18 Ogos lalu, Wong berkata beliau menjangka kelewatan pelantikan tersebut boleh mengganggu kerja PAC.

Pada sidang media di Parlimen, beliau berkata pelantikan ahli baharu PAC kemungkinan besar akan ditangguh ke persidangan Dewan Rakyat pada November.

“Dan inilah yang terjadi sekarang,” katanya.

Ahli Parlimen Ipoh Timur itu dilantik sebagai pengerusi PAC pada 27 Ogos, selepas sebelum ini bertugas sebagai timbalan.

Beliau mengambil alih tugas Dr Noraini Ahmad yang mengundurkan diri pada 10 Mac setelah dilantik sebagai menteri pengajian tinggi, berikutan perubahan kerajaan pada akhir Februari.

Ahli Parlimen Beaufort Azizah Mohd Dun pula dilantik sebagai timbalan pengerusi PAC.

Prosiding PAC terhenti sejak Mac setelah lima ahlinya dilantik sebagai menteri.

Ketua Audit Negara Nik Azman Nik Abdul Majid pada 14 Julai lalu berkata pembentangan laporan audit negara ditangguhkan susulan penangguhan persidangan Dewan Rakyat dan penguatkuasaan PKP.

Laporan itu sepatutnya dibentangkan pada persidangan Parlimen Mac lalu.

Beliau berkata jabatan itu tidak dapat memaklumkan kepada PAC mengenai hasil laporannya kerana pengerusi dan ahli jawatankuasa masih belum dilantik. Taklimat itu dijangka diadakan sebaik saja ahli jawatankuasa PAC dilantik. – 7 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen