Dua maut kemalangan di Felda Chini


DUA maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan empat buah motosikal di Kilometer 4 Jalan Chini-Kuantan di Felda Chini, Pekan dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Razli Mohd Yusof berkata mangsa yang maut dalam kejadian pukul 10.15 malam itu ialah Muhammad Firdaus Mohd Yusof, 18, dan kontraktor  Zakwan Muhammad, 24 tahun. 

Kemalangan itu turut menyebabkan dua rakan Muhammad Firdaus yang berusia 16 tahun dan pembonceng motosikal Zakwan, Saiful Shafinaz Mohamad, 30, cedera.

“Kumpulan remaja itu dipercayai berkonvoi dari Felda Chini Timur untuk ke Felda Chini apabila motosikal Muhammad Firdaus memasuki jalan bertentangan semasa hendak memotong seorang rakan lalu bertembung dengan Zakwan.

“Seorang lagi rakan Muhammad Firdaus tidak dapat mengelak menyebabkan dia juga melanggar motosikal mangsa manakala seorang lagi cedera akibat terbabas ke tepi jalan semasa mahu mengelak daripada melanggar mereka yang jatuh,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Mohd Razli berkata jenazah kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat manakala seorang mangsa yang parah di kepala dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini, untuk rawatan.  – Bernama, 6 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen