Mesir tahan suspek baharu kes rogol berkumpulan


Pengesanan pemangsa seksual mula aktif di Mesir selepas kebangkitan gerakan #MeToo yang bertujuan membawa pemangsa seksual di negara konservatif itu ke mahkamah bagi bertanggungjawab atas perlakuan jenayah mereka. – Gambar EPA, 30 Ogos, 2020.

PIHAK berkuasa Mesir menahan seorang suspek baharu yang terlibat dalam kes pemerkosaan seorang wanita pada tahun 2014, kata pihak pendakwaan pada hari Ahad.

Pengesanan pemangsa seksual mula aktif di Mesir selepas kebangkitan gerakan #MeToo yang bertujuan membawa pemangsa seksual di negara konservatif itu ke mahkamah bagi bertanggungjawab atas perlakuan jenayah mereka.

Kejadian rogol itu berlaku enam tahun lalu selepas pesta ekslusif di sebuah hotel mewah di Kaherah. Perincian kejadian itu kemudian dimuat naik dalam talian pada bulan Julai.

Selama beberapa minggu, nama dan gambar suspek, yang dikatakan daripada keluarga kaya, telah tersebar di dalam talian.

Minggu lalu, pihak pendakwaan Mesir berkata kes itu melibatkan sembilan lelaki - tujuh daripada mereka berjaya melarikan diri dari negara itu dan kini sedang dikesan melalui agensi Interpol.

“Pendakwa raya memerintahkan penahanan Omar Hafez selama empat hari sementara menunggu siasatan terhadap serangan seorang gadis di Hotel Fairmont,” kata pejabat pendakwaan dalam satu kenyataan.

Hafez ditahan pada 28 Ogos lalu, kata kenyataan itu lagi.

Rabu lalu, pihak pendakwaan Mesir mengumumkan penangkapan Amir Zayed, seorang lagi suspek dalam kes tersebut.

Pada hari Sabtu, polis Lubnan mengumumkan penahanan tiga warga Mesir setelah menerima sepucuk surat dari Interpol.

Wanita Mesir sering menjadi mangsa gangguan seksual beramai-ramai. Budaya enggan bersuara kerana malu terhadap orang ramai dan takut dipersalahkan kerana berpakaian atau bertindak “provokatif”.

Tinjauan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati bahawa kebanyakan wanita Mesir mempunyai pengalaman diganggu secara seksual, bermula daripada gangguan melalui telefon hingga cubitan dan perlakuan meraba.

Parlimen Mesir awal bulan ini meluluskan pindaan terhadap kod jenayah yang memberi hak kepada mangsa serangan seksual.

Pihak berkuasa Mesir telah mewartakan gangguan seksual sebagai satu jenayah sejak 2014, namun masih banyak wanita mengadu bahawa masalah itu tetap berleluasa. – AFP, 30 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen