RUU Covid-19: Pembangkang sokong jika ia digandakan kepada RM90 bilion


Lim Guan Eng (PH-Bagan) menyifatkan peruntukan sebanyak RM45 bilion untuk RUU Covid-19 tidak mencukupi untuk memulihkan semula ekonomi negara dalam keadaan sekarang.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Ogos, 2020.

PIHAK pembangkang bersetuju memberi sokongan secara bersyarat kepada Rang Undang-Undang (RUU) yang dinamakan Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus (Covid-19) 2020) jika suntikan dana digandakan daripada RM45 bilion kepada RM90 bilion.

Ketika membahaskan RUU tersebut, Lim Guan Eng (PH-Bagan) menyifatkan peruntukan sebanyak RM45 bilion itu tidak mencukupi untuk memulihkan semula ekonomi negara dalam keadaan sekarang.

“Walaupun kita bimbang hutang negara akan bertambah, namun lebih penting untuk selamatkan perniagaan dan pekerjaan berbanding kebimbangan mengenai hutang negara.

“Itu kita boleh terima tetapi dengan syarat ianya disalurkan kepada rakyat dan bukannya untuk individu dan syarikat syarikat gergasi serta kroni tertentu sahaja.

“Kerajaan juga perlu pastikan tender terbuka supaya tidak berlaku ketirisan. Itu amat penting supaya impak peruntukan ini dirasai oleh semua rakyat dan bukan orang tertentu,” katanya.

RUU itu telah dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini untuk bacaan kali kedua bagi memohon perbekalan tambahan sebanyak RM45 bilion.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata RUU itu bagi membolehkan kerajaan menaikkan had statutori jumlah amaun wang yang boleh diperdapat di bawah Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 dan Akta Pendanaan Kerajaan 1983 sehingga 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Mengulas kenaikan hutang  sehinga 60 peratus, Lim berkata dengan menggandakan peruntukan RM45 bilion itu akan turut membantu perkembangan ekonomi dan yakin hutang negara tidak akan melebihi tahap 60 peratus itu.

Jelas beliau, peruntukan RM45 bilion itu menjadikan defisit fiskal dijangkakan dalam lingkungan 5.8-6.0 peratus dan penambahan RM45 bilion akan menjadikannya pada 9.0 peratus.

“Malaysia mampu bertahan kerana defisit fiskal paling teruk dalam sejarah negara adalah pada 1981 manakala 1982 menyaksikan 15.1 peratus hingga 16.2 peratus.

“Jadi 9.0 peratus bukanlah sesuatu yang amat membimbangkan dan yakin ianya akan mendapat perhatian syarikat dana asing. Tetapi yang penting adalah meyelamatkan pekerjaan dan perniagaan rakyat Malaysia,” katanya. – Bernama, 18 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen