G25 gesa Putrajaya keluar laporan 'penuh dan telus' mengenai 1MDB


Melati A. Jalil

KUMPULAN tokoh Melayu ulung yang memperjuangkan keadilan dan hak asasi manusia, G25, menggesa Putrajaya mengeluarkan laporan “penuh, telus” mengenai status rasmi 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kerana ia merupakan langkah penting bagi penutupan kes itu.

Dalam satu laporan “Invigorating Economic Confidence in Malaysia’’ yang dikeluarkan hari ini, ia berkata laporan mengenai 1MDB perlulah mengandungi penjelasan daripada pihak pengurusan ke arah memenuhi komitmen kewangan dan mencapai objektif korporat.

“Sekalipun pihak berkuasa tidak berniat untuk mendakwa sebarang salah laku sebagaimana disarankan oleh Pasukan Penyiasat Khas, ia akan meredakan kebimbangan jika pemerintah menyiarkan laporan telus yang lengkap mengenai status 1MDB, terutama kedudukan kewangannya .

“Laporan ini sepatutnya konsisten  dan mencerminkan penemuan hasil serta dokumen mahkamah yang sudah ada dalam domain awam di Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, dan lain-lain dan tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa di semua negara ini,” menurut laporan itu.

Ia berkata penutupan kes itu boleh menghentikan kebimbangan berterusan terhadap transaksi dan lebih banyak lagi kerugian dan liabiliti luar jangka kepada kerajaan persekutuan.

Kumpulan itu berkata laporan mengenai kedudukan aset dan liabiliti semasa 1MDB harus dikemukakan kepada Parlimen dan boleh diakses oleh orang ramai.

“Laporan ‘penutupan’ itu akan menutup perkara itu dan tidak akan menyebabkan tuntutan berulang bagi laporan 1MDB setiap tahun pada masa akan datang, seperti kerugian forex ditanggung oleh Bank Negara Malaysia pada 1992 hingga 1993.

“Laporan sedemikian akan mengurangkan kebimbangan pelabur mengenai kesan 1MDB terhadap keadaan kewangan kerajaan,” katanya, sambil menambah laporan tersebut juga termasuk butiran tentang penyusunan semula organisasi dan struktur pentadbiran serta prosedur dan proses disediakan untuk 1MDB agar bertanggungjawab sepenuhnya kepada orang ramai.

“Penambahbaikan terhadap struktur, prosedur dan proses tadbir urus mengenai pembuat keputusan yang baik, dan semak dan imbang yang tepat bagi memastikan akauntabiliti menyumbang kepada keyakinan pelabur terhadap tindakan berani Malaysia menangani situasi sukar dan bergerak ke depan.

1MDB, sebagai agensi kerajaan, akan tertakluk kepada akauntabiliti, seperti semua syarikat kerajaan.”

Pihak Berkuasa Monetari Singapura dan Jabatan Hal Ehwal Komersial negara itu merampas beberapa akaun bank berhubung kemungkinan kesalahan penyalahgunaan wang haram berkaitan 1MDB.

Pada Julai, Singapura menjatuhkan hukuman penjara 54 bulan kepada perancang harta Yeo Jiawei kerana penyalahgunaan wang haram dan penipuan, berhubung dakwaan penyelewengan berbilion ringgit daripada 1MDB.

Pada Ogos, Jabatan Kehakiman AS (DoJ) memulakan siasatan jenayah ke atas wang yang didakwa dicuri daripada 1MDB, saman sivil yang difailkan dalam tempoh dua tahun lalu untuk menyita lebih AS$1 bilion (RM4.28 bilion) harta dan aset lain.

Dalam kes sivilnya, DoJ mendakwa antara 2009 dan 2015, lebih AS$4.5 bilion milik 1MDB telah diselewengkan oleh pegawai tinggi dana dan rakan sekutu mereka.

Pada Isnin, Peguam Negara AS Jeff Sessions menggelar skandal 1MDB sebagai “kleptokrasi paling parah” dan berkata lebih AS$4.5 bilion disalah guna melalui urus niaga yang kompleks daripada syarikat bayangan (shell company), dari Switzerland dan Singapura ke Luxembourg dan AS. – 9 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen