Usaha pemulihan ekonomi mula nampakkan hasil, kata Muhyiddin


Perdana Menteri berkata statistik turut menunjukkan penurunan kepada 9.7 peratus pada Jun berbanding 10 peratus pada Mei tahun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2020.

KADAR pengangguran yang dilihat menurun pada bulan Jun, dilihat sebagai antara tanda-tanda awal usaha pemulihan ekonomi yang dijalankan kerajaan mula menampakkan hasil, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Sambil merujuk statistik terbaru Jabatan Perangkaan Malaysia sehingga Jun tahun ini, beliau berkata kadar pengangguran di negara ini secara umumnya pada bulan lepas menurun kepada 4.9 peratus berbanding 5.3 peratus pada bulan Mei tahun ini.

“Bagi kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur antara 15 hingga 30 tahun pula, Perdana Menteri berkata statistik turut menunjukkan penurunan kepada 9.7 peratus pada Jun berbanding 10 peratus pada Mei tahun ini.

“Alhamdulillah, ini merupakan tanda-tanda awal usaha pemulihan ekonomi yang dijalankan mula menampakkan hasil,” kata beliau ketika berucap pada perasmian Sambutan Hari Belia Negara 2020 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada hari ini.

Merujuk kepada perkembangan positif berkenaan, Muhyiddin berharap agar pelbagai usaha terus dijalankan bagi memastikan golongan belia turut bersama-sama berada di landasan pemulihan ekonomi negara yang kini berhadapan dengan pandemik Covid-19. – Bernama, 15 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen