Pembantu tadbir didakwa palsukan baucar bayaran lebih RM400,000


SEORANG pembantu tadbir kewangan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka hari ini atas sembilan pertuduhan menipu Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) Melaka dengan menyediakan baucar pembayaran palsu bernilai lebih RM400,000, sembilan tahun lepas. 

Tertuduh, Hairul Rohman Untong, 41, yang kini berkhidmat di Penjara Dusun Dato’ Murad di Ayer Keroh membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Norma Ismail.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua Hairul Rohman didakwa menipu PPN Melaka dengan menyediakan baucar palsu bagi projek pembinaan dan menaik taraf jalan, parit dan longkang sekitar Melaka Tengah berjumlah RM80,000 pada 13 April dan 3 November 2011. 

Pertuduhan ketiga hingga keenam Hairul Rohman bersama seorang penganggur Kamarulbarin Ab Karim, 44, didakwa menipu PPN Melaka dengan menyediakan baucar palsu bagi projek menurap jalan, menaik taraf dan pembinaan jalan serta longkang di sekitar negeri ini berjumlah RM175,000 antara 26 Julai dan 20 Disember 2011.

Untuk pertuduhan ketujuh hingga kesembilan, Hairul Rohman bersama seorang penganggur Mohd Ghazali Bidin, 56, didakwa dengan curang menipu PPN Melaka dengan menyediakan baucar palsu bagi projek menaik taraf jalan dan selenggara balai raya di sekitar Alor Gajah berjumlah RM151,920 antara 13 April dan 27 Disember 2011. 

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di PPN Melaka di Ayer Keroh, pejabat tertuduh bertugas sebelum ini, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Norma membenarkan ketiga-tiga lelaki itu diikat jamin RM10,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan syarat tambahan iaitu mereka perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan selain menetapkan 15 Sept untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mazuin Hashim, manakala Hairul Rohman diwakili peguam Ahmad Faiz Munawar dan Muhammad Fadhli M. Sutris, sementara dua tertuduh lagi iaitu Kamarulbarin dan Mohd Ghazali tidak diwakili peguam. – Bernama, 6 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen