RM62 juta untuk Pertubuhan Peladang hadapi kesan Covid-19


Menteri Pertanian dan Industri Makanan Dr Ronald Kiandee berkata daripada jumlah itu, RM50 juta diperuntukkan untuk program Agromakanan jangka pendek. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Ogos, 2020.

SEBANYAK RM62 juta telah diperuntukkan kepada Pertubuhan Peladang menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bagi membantu warganya yang terkesan akibat wabak Covid-19. 

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Dr Ronald Kiandee berkata daripada jumlah itu, RM50 juta diperuntukkan untuk program Agromakanan jangka pendek (mengeluarkan hasil dalam tempoh tiga hingga enam bulan) dengan setiap Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) menerima antara RM100,000 hingga RM200,000.

“Sebanyak 224 Pertubuhan Peladang menerima dana khas ini untuk melaksanakan Projek Jangka Pendek (Cash Crop) tanaman sayuran atau kontan seperti projek tanaman secara fertigasi, konvensional, ternakan ayam kampung, ruminan dan juga ternak air (akuakultur),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan serta penyerahan Peruntukan Pakej Rangsangan Ekonomi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di Menara LPP di Kuala Lumpur, hari ini.

Kiandee berkata RM10 juta lagi diperuntukkan untuk kemudahan infrastruktur tempat penyimpanan dan pengagihan makanan serta program integrasi tanaman bagi memastikan rantaian nilai bekalan makanan diperkemaskan dengan lebih efisien.

Dalam usaha untuk meningkatkan usia penggunaan jentera-jentera pertanian seperti traktor dan jentuai, sebanyak RM2 juta turut diperuntukkan bagi tujuan itu.

“Semua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Jabatan Veterinar, LPP, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Agrobank telah diarah agar melaksanakan program dan inisiatif ini dengan cepat supaya golongan sasar mendapat manfaat dan hasrat kerajaan tercapai,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Kiandee yakin bantuan yang disalurkan itu dapat menggalak dan merancakkan kembali sektor pertanian dan industri agromakanan negara.

“Secara keseluruhan industri pertanian dan bekalan makanan tidak terjejas namun kita berharap penanaman semula bagi sektor pertanian dan industri makanan dapat dibaiki menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi dan Penjana,” katanya.  

Menurutnya, pelbagai pertubuhan peladang telah menerima manfaat menerusi dana berkenaan dan pembiayaan pinjaman mikro juga sedang giat dipohon. – Bernama, 6 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen