Reman lelaki jerut isteri disambung 6 hari


TEMPOH reman terhadap lelaki yang menjerut leher isterinya dengan tudung sehingga mati, disambung enam hari lagi sehingga 12 Ogos ini, bagi membantu siasatan polis.

Perintah reman terhadap suspek berusia 41 tahun itu, dikeluarkan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman di Mahkamah Majistret Sepang hari ini.

Lelaki itu yang merupakan sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan itu, sebelum ini ditahan reman selama tujuh hari, sejak 31 Julai lepas.

Menurut laporan, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Profesor Madya Dr Maizatulnisa Othman, 40, ditemukan di dalam kereta berhampiran tasik PKNS Pinggiran Cyberjaya, Sepang pada 30 Julai, selepas dipercayai dibunuh suaminya di Taman Mas, Putra Perdana, Puchong pada 29 Julai.

Sebelum itu suspek dikatakan berpura-pura mencari isterinya itu bersama anak perempuan mereka berusia 14 tahun, menggunakan perkhidmatan e-hailing.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, bagi kesalahan membunuh. – Bernama, 6 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen