Kadar Covid-19 positif kes PUI Sivagangga 1.46%, kata menteri


Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata bagi kadar positif Covid-19 melibatkan kluster PUI Sivagangga di Kedah adalah 1.46%. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Ogos, 2020.

KADAR positif terkini bagi kes Covid-19 melibatkan kluster PUI (pesakit dalam siasatan)  Sivagangga di Kedah adalah 1.46%, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata bagi kadar positif wabak itu di Kuching sehingga semalam sebanyak 2.64% melibatkan sembilan kluster aktif.

“Bagi Kluster PUI Sivagangga sehingga semalam, 1,647 individu telah disaring dan daripada jumlah ini 24 kes dikesan positif Covid-19.

“Di Kuching, seramai 2,541 individu disaring dan 67 kes adalah positif,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) mengenai status kes Covid-19 di Kedah dan Kuching serta langkah kementerian untuk mencegah gelombang seterusnya termasuk jumlah saringan yang dibuat. – Bernama, 6 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen