Jokowi mahu pilihan raya daerah utamakan kesihatan rakyat


Presiden Indonesia Joko Widodo (kiri) melawat bilik rawatan di perkampungan atlet Sukan Asia yang diubah menjadi hospital sementara untuk pesakit Covid-19 pada Mac lalu. – Gambar EPA, 6 Ogos, 2020.

PRESIDEN Indonesia Joko Widodo mahu pilihan raya daerah yang akan berlangsung di tengah pandemik Covid-19 pada Disember ini mengutamakan kesihatan dan keselamatan pengundi serta semua pegawai pengendali yang terlibat, lapor media di republik itu.

Jokowi berharap jangan sampai pilihan raya yang berlangsung serentak di 270 daerah pada 9 Disember itu mencetuskan kluster jangkitan yang baharu.

“Penerapan protokol kesihatan harus betul-betul menjadi sebuah kebiasaan baru dalam setiap peringkat pilihan raya daerah sehingga nantinya tidak menimbulkan kluster terbaru atau gelombang baru dari Covid-19 yang tidak menguntungkan,” katanya, seperti dipetik oleh Kompas.

Jokowi bagaimanapun yakin Indonesia akan dapat menganjurkan pilihan raya yang selamat di tengah pandemik seperti negara lain yang telah melakukannya, misalnya Singapura, Jerman, Perancis, dan Korea Selatan.

“Pilihan raya daerah harus semakin berkualiti dan juga selamat daripada Covid-19 sehingga aspek kesihatan dan keselamatan petugas dan juga tentu saja harus menjadi keutamaan,” katanya.

Jelas beliau, protokol kesihatan dan keselamatan yang ketat akan memberi keyakinan kepada pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka, sekali gus memastikan peratusan keluar mengundi yang tinggi.

Suruhanjaya pilihan raya Indonesia sebelum ini menangguhkan proses pilihan raya itu selama tiga bulan antara Mac hingga Jun ketika Covid-19 dikesan menular teruk.

Beberapa kaji selidik bagaimanapun menunjukkan rata-rata pengundi tidak setuju dan bimbang dengan pilihan raya yang akan berlangsung serentak, lapor The Jakarta Post.

Ia memetik kaji selidik Indikator Politik Indonesia yang mendapati 63% daripada 1,200 responden cenderung mahu pilihan raya itu ditangguhkankan.

Satu lagi kaji selidik oleh Charta Politika Indonesia juga mengumpulkan dapatan yang hampir sama.

Setakat semalam, Indonesia mengesan 1,815 lagi kes baharu menjadikan keseluruhan kes meningkat kepada 116,871. β€“ 6 Ogos, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen