Jerman janji hantar bantuan ke Beirut


Dua letupan besar menggegar pelabuhan Beirut pada Selasa yang menyebabkan 135 orang terbunuh manakala 5,000 yang lain cedera. – Gambar EPA, 6 Ogos, 2020.

JERMAN akan menghantar bantuan ke Beirut Lubnan, kata Canselor Angela Merkel pada Rabu, lapor agensi berita Xinhua.

“Saya amat terkejut apabila mengetahui mengenai letupan dasyat di Beirut, yang telah meragut banyak korban,” tulis Merkel dalam surat takziah kepada Perdana Menteri Lubnan Hassan Diab.

“Tatkala detik sukar ini, anda boleh mengharapkan bantuan serta sokongan kerajaan Jerman,” kata Merkel.

Menteri Luar Heiko Maas juga “terharu melihat gambar-gambar yang mengejutkan dari Beirut.”

Kakitangan kedutaan Jerman adalah antara yang cedera.

Maas memberitahu akhbar Bild, beliau menghubungi rakan sejawatnya di Lubnan untuk membincangkan bagaimana Jerman dapat menawarkan bantuan segera. 

Pasukan penyelamat dari Agensi Persekutuan Jerman untuk Bantuan Teknikal akan berlepas ke Beirut pada Rabu.

“Bersama anggota tentera Jerman dan pekerja kemanusiaan kami akan melihat bagaimana kami dapat memberikan bantuan yang diperlukan,” kata Maas.

Dua letupan besar menggegar pelabuhan Beirut pada Selasa. 

Menteri Kesihatan Hamad Hassan pada Rabu berkata letupan itu menyebabkan 135 orang terbunuh manakala 5,000 yang lain cedera. – Bernama, 6 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen