Turki makin bimbang kes harian Covid-19 lebih 1,000


Seorang wanita memakai topeng pelitup muka ketika menaiki feri di Itanbul, Turki ketika kes baharu jangkitan Covid-19 meningkat di negara itu. – Gambar EPA, 6 Ogos, 2020.

TURKI menyatakan kebimbangannya berikutan peningkatan jumlah kes Covid-19 apabila jumlah jangkitan harian melebihi 1,000 untuk hari kedua berturut-turut, semalam.

Ankara mengurangkan sebahagian besar sekatan yang dilaksanakan sejak kes pertama direkodkan pada Mac, meningkat ke tahap tertinggi dengan lebih 5,000 jangkitan setiap hari pada April.

Tetapi selepas hampir sebulan kes harian berjumlah kira-kira 900, Menteri Kesihatan Turki Fahrettin Koca berkata 1,178 jangkitan dicatatkan dalam 24 jam terakhir.

Koca semalam menggesa rakyat mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan kenaikan lagi.

“Kami bimbang dengan peningkatan jumlah kes, yang sebelumnya terbatas pada beberapa wilayah, kini merebak ke seluruh negara sejak akhir-akhir ini,” katanya pada Isnin yang menyaksikan 995 kes disahkan.

Keesokan harinya Turki mencatatkan 1,083 jangkitan.

Jumlah kematian akibat Covid-19 di Turki sekarang 5,784 dengan 236,112 kes jangkitan. – AFP, 6 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen