Dunia ucap takziah, beri sokongan pada Lubnan


Hotel Cavalier di kawasan Al-Hamra di Beirut turut rosak susulan letupan di pelabuhan Beirut semalam yang setakat ini menyebabkan puluhan maut dan ribuan lagi cedera. – Gambar EPA, 5 Ogos, 2020.

SEKUTU rapat kepada Lubnan memberikan sokongan dan turut berduka atas insiden letupan berkembar di Beirut yang menyebabkan ramai mati dan cedera.

Perdana Menteri Lubnan Hassan Diab memoho bantuan daripada negara yang sudi, susulan Lubnan turut berdepan krisis ekonomi yang teruk dan sedang berperang dengan pandemik koronavirus.

Ketua PBB Antonio Guterres menyatakan takziah atas insiden itu, di mana beliau berkata beberapa pegawai PBB turut tercedera dalam keadian itu.

Setiausaha Negara AS Mike Pompeo menerusi Twitter berkata pihaknya memantau dan bersiap sedia untuk membantu rakyat Lubnan.

Di rantau itu, negara-negara Teluk antara yang terawal memberi respons, dengan Qatar berjanji menghantar hospital lapangan untuk membantu bahagian perubatan.

Pemimpin Qatar Emir Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani mendoakan mangsa yang cedera akan cepat sembuh.

Naib Presiden Emiriyah Arab Bersatu dan pemimpin Dubai Sheikh Mohammed bin Rashid Al-Maktoum mengucapkan takziah kepada rakyat Lubnan yang dikasihi.

Kuwait berkata ia akan menghantar bantuan perubatan kecemasan.

Mesir meluahkan kebimbangan dengan kemusnahan yang berlaku, sementara ketua Liga Arab Ahmed Aboulgheit turut ucap takziah dan menekankan kepentingan menyiasat kebenaran tentang punca letupan.

Malah, negara berjiran Israel juga menawarkan bantuan kemanusian – ke negara yang secara teknikalnya masih dalam perang. – AFP, 5 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen