Letupan di Beirut umpama serangan ngeri, kata Trump


Mangsa tercedera dalam letupan kuat di pelabuhan Beirut dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Dilaporkan lebih 2,000 cedera akibat dua letupan besar semalam. – Gambar EPA, 5 Ogos, 2020.

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyifatkan letupan kuat yang menggegarkan ibu kota Lubnan, Beirut seperti “serangan yang mengerikan”.

Trump berkata negara itu mempunyai hubungan sangat baik dengan rakyat Lubnan dan akan memberi bantuan.

“Ia kelihatan seperti serangan yang mengerikan,” kata Trump pada media di White House.

Dua letupan kuat menggegarkan Beirut semalam sehingga mengakibatkan kira-kira 73 terbunuh manakala lebih 2,000 cedera.

Akibat letupan dipercayai berlaku di pelabuhan itu, beberapa bangunan di sekitar kawasan itu termasuk kediaman bekas perdana menteri Saad Hariri musnah serta mengalami kerosakan teruk.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang waktu tempatan, letupan itu mengakibatkan kemusnahan di kawasan itu dengan impaknya menyebabkan kerosakan di beberapa bangunan lain terletak beberapa kilometer dari lokasi letupan itu dan kepulan asap hitam tebal dapat dilihat sejauh kira-kira 10km.

Rakaman dari pelabuhan menunjukkan kerosakan besar pada bangunan dan kereta, serta orang yang cedera dalam letupan itu. – AFP, 5 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen