2 letupan gegar Beirut, 73 maut


Asap hitam kelihatan berhampiran tempat menyimpan gandum yang turut musnah akibat letupan di Pelabuhan Beirut semalam. – Gambar EPA, 5 Ogos, 2020.

DUA letupan besar di pelabuhan Beirut semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 73 terkorban dan ribuan lagi cedera.

Bangunan di sekitarnya juga bergegar dan menyebabkan panik serta kekecohan di seluruh ibu kota Lubnan itu.

Letupan kedua menyebabkan api berwarna jingga melonjak ke langit, diikuti dengan gelombang seperti peluru berpandu yang memusnahkan pelabuhan itu, menyebabkan gegaran sejauh beberapa kilometer.

Perdana Menteri Hassan Diab berkata 2,750 tan baja amonia nitrat untuk pertanian yang disimpan di gudang di tepi pelabuhan itu selama beberapa tahun, meletup.

Mangsa tercedera ditemui dalam keadaan berdarah di bawah serpihan kaca dan runtuhan bangunan di pelabuhan di tengah Beirut itu.

Kementerian Kesihatan melaporkan 73 maut dan 3,700 cedera dalam kejadian itu.

“Apa yang berlaku hari ini tidak akan berlalu begitu saja tanpa hukuman setimpal terhadap mereka yang bertanggungjawab menjadi punca,” kata Diab.

Ketua Jeneral Keselamatan Abbas Ibrahim terdahulu berkata bahan mudah meletup yang dirampas beberapa tahun lalu disimpan di gudang itu, hanya beberapa minit perjalanan ke pusat beli-belah dan kelab malam Beirut.

Letupan itu sangat kuat, menggegarkan keseluruhan Beirut dan boleh didengar hingga ke negara jiran, sejauh Nicosia di timur kepulauan Cyprus di Mediterranean iaitu 240 km jaraknya. – AFP, 5 Ogos.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen