Tiada lapangan terbang baharu sehingga kajian kementerian selesai, kata menteri


Ragananthini Vethasalam

Menurut Wee Ka Siong pandemik Covid-19 menjejaskan sektor penerbangan yang akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun untuk pulih kembali. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2020.

CADANGAN untuk pembinaan lapangan terbang baharu atau penambahan lapangan terbang sedia ada hanya akan dipertimbangkan selepas Kementerian Pengangkutan selesai menjalankan kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Kebangsaan (NASP).

Menterinya, Wee Ka Siong berkata bahawa kerajaan memerlukan dua tahun untuk menyiapkan kajian menyeluruh bagi menilai keperluan dan keupayaan semua lapangan terbang.

“Ini penting kerana pandemik Covid-19 telah mempengaruhi sektor penerbangan yang akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun untuk pulih kembali,” katanya semasa membentangkan jawapan kementeriannya di Parlimen.

Mengambil contoh Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di Kedah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, beliau berkata kedua-dua lapangan terbang itu secara kolektif dapat menampung lalu lintas penumpang hampir 50 juta orang.

“Sekiranya terdapat empat lapangan terbang di utara, bersaing satu sama lain, maka itu akan meninggalkan kesan buruk,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata bahawa pelan tersebut akan mempertimbangkan faktor-faktor seperti permintaan dan kapasiti.

Pelan strategik tersebut juga tidak hanya terbatas pada penambahan kawasan lapangan terbang bahkan juga lapangan terbang landasan pendek (STOLPORT). – 31 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen