12 pejuang pro rejim terbunuh dalam pertempuran Syria


Serangan kerajaan yang disokong Rusia antara Disember dan Mac mengusir hampir satu juta orang dari wilayah tersebut. – Gambar EPA, 3 Ogos, 2020.

JIHADIS dan sekutu pemberontaknya di barat laut Syria Isnin membunuh sekurang-kurangnya 12 pejuang pro rejim kata sebuah kumpulan pemantau perang yang berpangkalan di Britain.

17 lagi pejuang pro-rejim cedera sementara di pihak jihadis, enam pejuang mereka terbunuh, kata kumpulan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di Britain.

Pasukan yang setia kepada Presiden Bashar-al Assad melancarkan serangan dengan artileri dan tembakan di kubu terakhir pembangkang di Syria, kata kumpulan pemantauan perang itu.

Bagaimanapun pakatan jihad Hayat Tahrir al-Sham (HTS), yang diketuai bekas pemimpin gabungan al-Qaeda Syria, dan sekutu mereka dilaporkan telah menggagalkan serangan itu.

Empat anggota HTS dan dua pejuang pemberontak lain terbunuh dalam pertempuran di kawasan luar bandar Latakia, kata kumpulan itu.

Perikatan yang diketuai HTS juga menguasai wilayah-wilayah besar di Idlib, Aleppo dan Hama.

Wilayah yang dikuasai mereka adalah kawasan yang memiliki sekitar tiga juta orang penduduk, hampir separuh daripadanya telah dipindahkan ke bahagian lain di negara itu.

Perang saudara di Syria selama sembilan tahun mengorbankan lebih dari 380,000 orang dan menyebabkan hampir separuh penduduk di kawasan tersebut dipindahkan.

Kawasan yang dikuasai pemberontak adalah sasaran biasa pasukan rejim dan sekutu mereka dari Rusia dan Iran.

Serangan kerajaan yang disokong Rusia antara Disember dan Mac mengusir hampir satu juta orang dari wilayah tersebut.

Perjanjian gencatan senjata yang disokong Moscow pada bulan Mac telah mengurangkan keganasan di Syria namun serangan tembakan dan udara rejim dan penyokongnya terus berlanjutan. – AFP, 3 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen