Kemboja tangguh potongan cukai 2 bulan lagi


Pengecualian cukai diberikan kepada sektor berkaitan pelancongan yang terjejas teruk kerana Covid-19. – Gambar AFP, 3 Ogos, 2020.

KERAJAAN Kemboja memutuskan untuk menangguhkan potongan cukai selama dua bulan lagi agar perniagaan yang bergantung kepada pelancongan dapat mengatasi kesulitan ketika krisis Covid-19, lapor agensi berita Vietnam, memetik Kementerian Pelancongan pada Isnin.

Pengecualian tersebut, yang berkuatkuasa dari Ogos dan September, diberikan kepada hotel, rumah tumpangan, restoran dan syarikat pelancongan di ibu kota Phnom Penh dan di wilayah Siem Reap, Sihanouk, Kep dan Kampot, serta di bandar Bavet dan Poipet, menurut kementerian itu.

Ia menambah kerajaan akan terus memindahkan AS$40 sebulan untuk kakitangan dan pekerja di sektor pelancongan selama dua bulan lagi.

Menteri Pelancongan Thong Khon berkata lebih daripada 3,000 perniagaan berkaitan pelancongan di Kemboja telah ditutup kerana Covid-19, menyebabkan lebih daripada 50,000 pekerja menganggur.

Hujung minggu lalu, pemerintah mengumumkan akan terus menyokong pekerja yang menganggur di sektor pakaian - tekstil selama dua bulan lagi. Masing-masing akan menerima AS$40 sebulan dari Ogos hingga September 2020 dan tambahan AS$30 sebulan daripada majikan mereka. – Bernama, 3 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen