Ahli politik kanan India dijangkiti Covid-19 


Menteri Dalam Negeri Amit Shah turut menjalani rawatan selepas disahkan positif Covid-19.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2020.

DUA anggota tertinggi Parti Bharatiya Janata (BJP) di India diuji positif Covid-19 pada Ahad dan dimasukkan ke hospital.

Menteri Dalam Negeri Amit Shah, 55, dan Ketua Menteri Karnataka. B. S. Yediyurappa, 77, menerusi akaun Twitter, memaklumkan keadaan mereka baik-baik sahaja.

Shah berkata beliau menjalani ujian saringan selepas menunjukkan gejala Covid-19. 

“Kesihatan saya baik-baik saja, saya dimasukkan ke hospital atas nasihat doktor,” katanya di Twitter. 

“Saya minta anda semua yang ada kontak dengan saya beberapa hari sebelum ini, asingkan diri anda dan jalani saringan,” kata Shah.

Beliau antara tokoh terkemuka yang dilaporkan positif Covid-19 pada Ahad.

Gabenor Tamil Nadu, Banwarilal Purohit, 80,  juga positif virus itu tetapi “tak bergejala dan stabil”, lapor media India.

Yediyurappa, ketua menteri BJP kedua yang didiagnosis Covid-19 selepas Ketua Menteri Madhya Pradesh Shivraj Singh Chouhan baru-baru ini dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Menteri Karnataka itu merayu mereka yang mempunyai kontak dengannya supaya menjalani kuarantin kendiri.

Di utara negeri Uttar Pradesh, Menteri Pendidikan Teknikal Kamal Rani Varun, 62,  meninggal dunia di Lucknow pada Ahad ketika menjalani rawatan selepas dijangkiti virus itu. 

Presiden BJP Uttar Pradesh, Swatantra Dev Singh berkata “saya mempunyai gejala dan kini menjalani kuarantin di rumah,” tulisnya di Twitter.

Jumlah kes jangkitan Covid-19 di India sehingga kini dianggarkan sebanyak 1.8 juta, meningkat lebih 260,000 dalam masa kurang seminggu.

Bintang filem Amitabh Bachchan sudah discaj dari sebuah hospital di Mumbai, memetik Twitter anaknya Abhishek Bachchan pada Ahad.

Kedua-duanya yang dijangkiti Covid-19 dimasukkan ke hospital itu untuk menjalani rawatan pada 11 Julai. – Bernama, 3 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen