Pusat kajian ekuiti ramal harga saham sifar untuk AirAsia X


Ragananthini Vethasalam

PUSAT penyelidikan menurunkan Harga Sasaran (TP) bagi AirAsia X (AAX) Berhad menjadi sifar setelah syarikat penerbangan jarak jauh itu mencatatkan kerugian bersih suku tahunan terbesarnya.

CGS-CIMB Equities Research, berkata dalam satu nota berhubung pengurangan penarafan saham, bahawa kedudukan liabiliti bersih kumpulan syarikat penerbangan mendorong penurunan harga sasaran dari 7 sen kepada sifar.

“Kekal ‘kurangkan’ dan potong harga sasaran menjadi sifar, kerana AAX sudah jatuh ke kedudukan liabiliti bersih pada 31 Mac, selain hal paling buruk bakal berlaku,” katanya.

Harga sasaran adalah harga wajar masa depan bagi saham berdasarkan pendapatan sejarah.

CGS-CIMB meramal bahawa kapasiti kilometer tempat duduk AAX untuk Tahun Kewangan 2020 hanya pada 22% daripada kapasiti asas untuk tahun kewangan sebelumnya.

Ia diramal akan meningkat kepada 40% untuk Tahun Kewangan 2021 dan 50% untuk Tahun Kewangan 2022.

“Walaupun sempadan dibuka semula, AAX mungkin perlu lebih selektif berhubung laluan-laluan perjalanannya,” tambah badan kajian itu.

AirAsia X mencatatkan kerugian bersih RM549.7 juta untuk suku pertama yang berakhir pada 31 Mac 2020 berbanding keuntungan bersih RM43.33 juta pada suku pertama tahun lalu.

Pendapatan syarikat itu sebaliknya menurun sebanyak 21% kepada RM924.09 juta kerana kapasiti tempat duduk dan jumlah penumpang yang dibawa berkurangan.

Walaupun perjalanan domestik semakin meningkat, AAX harus menunggu lebih lama sehingga sempadan antarabangsa dibuka semula.

Operasi AirAsia X juga dihentikan sejak 28 Mac, kecuali untuk beberapa penerbangan kargo.

“AAX kini dalam keadaan terdesak untuk menjelaskan bayaran komitmennya. Kami yakin AAX tidak membayar penyewa, penyedia penyelenggaraan dan pembekal sejak Suku keempat tahun 2019,” kata CGS CIMB.

Laporan itu juga berkata bahawa kumpulan syarikat penerbangan itu membelanjakan wang tunai RM140 juta pada Suku pertama tahun 2020, menjadikan simpanannya sebanyak RM219 juta pada 31 Mac.

Ia menambah bahawa AirAsia X hanya mempunyai kemampuan untuk membayar gaji hingga akhir tahun kewangan 2020, dengan menganggap bahawa kos untuk jumlah gaji suku pertama tahun 2020 adalah RM105 juta dan ia telah dikurangkan menjadi RM70 juta setiap suku tahunan sepanjang tahun ini. – 31 Julai, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen