Jemaah haji wukuf di Arafah hari ini 


Jemaah haji mengelilingi Kaabah mengikut jalur khusus bagi menjaga jarak antara mereka. – Gambar EPA, 30 Julai, 2020.

SERIBU jemaah haji akan bergerak ke Arafah hari ini untuk acara kemuncak wukuf di tengah pandemik Covid-19 yang memaksa ibadah rukun Islam kelima pada kali ini dilaksanakan dalam skala kecil dan ketat bagi membendung penularan wabak.

Ibadah haji pada tahun ini melibatkan jumlah jemaah yang jauh kecil berbanding lebih 2.5 juta jemaah setiap tahun, dengan tiga dalam setiap empat orang adalah jemaah dari luar Arab Saudi. 

Untuk musim haji di tengah penularan Covid-19 ini, semua 1,000 jemaah yang dijemput menjadi tetamu Allah adalah mereka yang sedia menetap di Arab Saudi, termasuk bukan warganegara. 

Tiada seorang pun jemaah pada tahun ini yang masuk ke Arab Saudi khusus untuk mengerjakan haji.

Semua jemaah juga dikenakan syarat ketat mematuhi tatacara khas membendung penularan wabak sepanjang lima hari proses mengerjakan haji.

Antaranya termasuk memakai pelitup muka dan menjaga jarak fizikal, berdasarkan peraturan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa haji pada penghujung Jun.

Ibadat tawaf, yang menjadi antara rukun haji, juga diatur dengan jemaah akan mengelilingi Kaabah mengikut jalur khusus bagi menjaga jarak antara mereka.

Selepas Isyak malam tadi (waktu Mekah) pihak pengurusan Masjidil Haram menggantikan kelambu Kaabah, tradisi tahunan yang dilakukan pada hari wukuf.

Upacara itu disiarkan secara langsung melalui televisyen dan YouTube.

Jemaah haji berdoa di Masjidil Haram. Semua 1,000 jemaah yang dijemput menjadi tetamu Allah adalah mereka yang sedia menetap di Arab Saudi, termasuk bukan warganegara. – Gambar EPA, 30 Julai, 2020.

Miqat tunggal

Untuk pertama kali juga dalam sejarah, jemaah haji hanya masuk ke Mekah melalui satu miqat iaitu Qarn al-Munazil, yang biasanya digunakan oleh jemaah dari negara-negara Teluk dan Asia Timur.

Miqat adalah batas tempat jemaah mengenakan ihram yang akan dipakai sepanjang mereka menjalani rukun haji dan berniat mengerjakan haji.

Miqat Qarn al-Munazil dipilih kerana letaknya paling hampir dengan Mekah, iaitu kira-kira 80 kilometer dari arah timur laut Masjidil Haram. Selebihnya, kerana tempat itu lengkap dengan kemudahan yang selesa untuk jemaah termasuk masjid yang besar.

Menurut Arab News, semua jemaah juga disyaratkan menjalani kuarantin kendiri sebelum dan selepas selesai mengerjakan haji.

Jemaah yang terpilih juga disahkan sihat serta berumur tidak lebih 65 tahun.

Jemaah haji berdoa di Gunung Arafat dekat Mekah pada 20 Ogos 2018. Untuk musim haji di tengah penularan Covid-19 ini, jumlah jemaah haji jauh lebih kecil berbanding lebih 2.5 juta jemaah setiap tahun. – Gambar EPA, 30 Julai, 2020.

Arab Saudi menutup pintu sempadannya kepada warga asing sejak hujung Februari bagi membendung penularan Covid-19.

Ia menggantung pengeluaran visa umrah dan kemudian mengenakan perintah berkurung selama hampir tiga bulan di Mekah, termasuk mengunci masjid pada sepanjang Ramadan.

Arab Saudi adalah antara 20 negara paling teruk dijangkiti Covid-19, dengan 272,590 kes dan melibatkan 2,816 kematian.

Maklumat yang dikumpulkan oleh Universiti John Hopkins di Amerika Syarikat setakat semalam mencatatkan keseluruhan lebih 16.8 juta disahkan dijangkiti Covid-19 di seluruh dunia dengan lebih 662,000 kematian. – 30 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen