Pakatan cetus 'kebangkitan rakyat' di 'Tembok Besar China'


Zulkifli Sulong

FORUM anjuran aktivis Pakatan Harapan (PH) mencapai kata sepakat untuk mengadakan satu perhimpunan ke tapak projek Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP) yang sedang dibina di Gebeng, Pahang.

Penganjur perhimpunan berharap demonstrasi di tapak projek yang digelar “Tembok Besar China” itu akan dapat mencetus “kebangkitan rakyat” untuk menolak parti kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Rancangan itu diputuskan dalam satu forum pada malam tadi anjuran “Anak Muda Cari Jho Low” (AMCJL), sebuah gabungan NGO anak muda pro PH yang dicetuskan oleh sayap Pemuda Amanah.

Cadangan itu pada asalnya dibangkitkan oleh seorang peserta forum di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Kuala Lumpur itu.

Ia seterusnya mendapat persetujuan peserta dan ahli panel, termasuk pemimpin tertinggi parti dalam PH.

Antaranya, Pengerusi PH Dr Mahathir yang berkata projek digelar “Tembok Besar China” itu menunjukkan kelemahan Perdana Menteri Najib Razak.

Dr Mahathir berkata China mengambil kesempatan ke atas kelemahan itu untuk mengadakan projek infrastruktur yang didakwanya tidak menguntungkan Malaysia.

“Najib lemah, banyak masalah. Jadi mereka ambil kesempatan. Kalau ada cadangan mahu berhimpun di tembok besar China di Kuantan ini saya setuju untuk sertainya.

“Saya nak tahu juga, apa yang ada kat dalamnya. Ada balai polis kita ke tidak. Jika apa-apa yang berlaku di dalam sana, siapa yang menyiasat,” katanya, ketika mengulas cadangan itu semasa sesi forum.

Mengulas perkara sama, Presiden Amanah Mohamad Sabu dalam ucapannya berkata, pengundi di negara ini tidak akan bangkit dengan seminar, konvensyen atau seumpamanya.

Tetapi katanya, golongan pengundi akan bangkit apabila berlakunya perhimpunan di jalan raya sebagaimana himpunan reformasi menjelang PRU 1999.

Katanya, kebangkitan ini boleh dilihat melalui siri perhimpunan anjuran Bersih menjelang PRU 2008 dan 2013.

Dr Mahathir ketika melawat MCKIP pada pertengahan Oktober lalu mendakwa pelaburan asing seperti MCKIP tidak menguntungkan sedikit pun rakyat tempatan kerana kontraktor dan pekerja terbabit dibawa masuk dari China.

Projek itu menerima nama jolokan “Tembok Besar China” oleh warga tempatan di Kuantan kerana dilengkapi tembok setinggi lapan kaki yang memagari kawasan seluas kira-kira 1,200 ekar tanah untuk projek fasa pertama.

Tembok berkenaan mencetuskan pelbagai spekulasi di kalangan masyarakat setempat.

Satu-satunya pintu masuk yang ada dikawal ketat oleh pengawal keselamatan tempatan beruniform putih, dan pengawal dari China yang beruniform hitam.

Selain Dr Mahathir, turut berucap sebagai ahli panel ialah Mohamad, timbalan ketua pergerakan pemudanya Faiz Fadzil, aktivis politik Hishamudin Rais, Adun DAP Howard Lee dan Ahli Parlimen Subang Sivarasa Rasiah. – 7 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen