Keputusan Najib cetus harapan 'kedaulatan undang-undang'


Bekas perdana menteri Najib Razak didapati bersalah semalam atas semua tujuh tuduhan jenayah kerana menerima RM42 juta daripada SRC International. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 29 Julai, 2020.

KEPUTUSAN SRC International kembali memberi harapan bahawa kedaulatan undang-undang di Malaysia berada di landasan yang betul walaupun berlaku kejadian beberapa bulan terakhir selepas kejatuhan Pakatan Harapan pada akhir Februari.

Penganalisis politik memberitahu The Malaysian Insight bahawa bekas perdana menteri Najib Razak didapati bersalah kerana salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram merupakan tanda kebebasan kehakiman semakin meningkat.

Terutamanya sejak Umno, parti yang pernah dipimpin oleh Najib kembali berkuasa dan menjadi sebahagian daripada pemerintahan Perikatan Nasional.

Mereka bagaimanapun mengingatkan rakyat Malaysia agar tidak meraikannya terlalu awal kerana Najib masih ada peluang untuk membatalkan keputusan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Pakar sains politik Prof Dr James Chin juga memberi amaran bahawa Najib masih boleh melarikan diri tanpa menghabiskan satu hari di penjara jika Umno menguasai sepenuhnya Putrajaya dalam pilihan raya baharu.

“Sekiranya Umno berkuasa dia tidak akan masuk penjara secara fizikal dalam jangka masa panjang. Keputusan juga cenderung dibatalkan di Mahkamah Rayuan,” katanya yang mengetuai Institut Asia di University of Tasmania.

Tetapi bagi Ramon Navaratnam yang pernah berkhidmat di bawah lima dari enam perdana menteri di Malaysia dan kini mengetuai Pusat Kajian Dasar Awam (CPPS), keputusan SRC masih menandakan sesuatu yang positif.

Ramon yang merupakan sebahagian daripada generasi Merdeka itu berkata dia berasa kasihan terhadap Najib kerana mengenali bekas perdana menteri itu dan pernah bekerja di bawah bapanya Abdul Razak Hussin yang merupakan perdana menteri kedua.

“Tetapi keadilan mesti dibuat dan setiap orang perlu menyedari bahawa tidak ada yang melebihi undang-undang. Ini diharapkan dapat mengubah budaya rasuah yang semakin buruk dan boleh menjadi titik tolak bagi Malaysia,” katanya.

Najib didapati bersalah semalam atas semua tujuh tuduhan jenayah kerana menerima RM42 juta daripada SRC International menjadikannya bekas perdana menteri pertama yang didakwa dan disabitkan kesalahan di Malaysia.

Najib yang juga bekas menteri kewangan dihukum atas tiga tuduhan pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan penyalahgunaan kuasa.

Dia dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Harapan kembali

Keputusan itu adalah hasil perbicaraan selama 14 bulan yang bermula ketika Najib dibawa ke mahkamah selepas dia dan Umno hilang kuasa pada pilihan raya ke-14.

PH sudah berkempen dan berjanji pada PRU14 untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab atas kerugian lebih dari RM42 bilion di syarikat yang berkaitan dengan pentadbiran Najib.

Kes SRC International adalah yang pertama dari lima kes di mana Najib diadili.

Sepanjang tempoh lima tahunnya, pentadbiran PH dijatuhkan dalam rampasan kuasa yang disokong oleh Umno, yang pemimpin utamanya juga bertugas di bekas kabinet Najib.

Semasa penggal PN yang bermula pada Mac, penyelesaian kontroversi dibuat dalam dua kes berprofil tinggi yang melibatkan anak sulung Najib dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Yang pertama adalah keputusan kerajaan untuk menjatuhkan tuduhan pengubahan wang haram terhadap anak tiri Najib Riza Aziz sebagai ganti dia mengembalikan wang yang diambil dari 1MDB.

Kes 1MDB kedua adalah keputusan kerajaan untuk mencapai penyelesaian dengan bank AS Goldman Sachs dengan harga AS$3.9 bilion kerana penglibaan mereka dengan 1MDB.

Cara kes ini ditangani telah menimbulkan kecurigaan bahawa Najib akan dilepaskan, kata sains politik Dr Tunku Mohar Tunku Mokhtar.

“Jika ada ini keputusan berani ketika kes-kes yang berkaitan dengan ahli politik Umno dijatuhkan dan ketika persepsi masyarakat semakin meningkat bahawa dia (Najib) mungkin dibebaskan,” kata Tunku Mohar dari Universiti Islam Antarabangsa.

Dr Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata keputusan itu merupakan bukti daripada sentiment orang ramai bahawa Najib bersalah melakukan penyelewengan semasa dia berkuasa – tuduhan yang disokong oleh siasatan pihak berkuasa AS terhadap 1MDB.

“Pujian harus diberikan kepada hakim atas analisis kesnya yang sangat teliti dan bebas,” katanya.

“Kita hanya dapat berharap bahawa kebebasan kehakiman seperti ini akan berlanjutan dalam kes 1MDB lain dan juga kes penyalahgunaan kuasa serta rasuah,” katanya. – 29 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen