UMNO perlu terus bergerak ke hadapan dan melakukan proses rejuvenasi, fokuskan pada parti dan bukan individu, kata bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin susulan keputusan perbicaraan SRC International Najib Razak hari ini.
Menteri sains, teknologi dan inovasi itu berkata, keputusan bersalah ke atas Najib itu memberi kesan besar kepada parti, walaupun bekas perdana menteri itu masih ada peluang untuk merayu.
“Saya berpendapat, walaupun beliau masih mempunyai ruang untuk mengemukakan rayuan, inilah masa bagi Umno sebagai sebuah parti politik untuk bergerak ke hadapan dan melakukan proses rejuvenasi,” katanya dalam satu kenyataan.
“Walaupun masing-masing berhak memberikan sokongan moral kepada Najib, saya berharap parti Umno tidak diheret bersekali dalam kes tersebut.
“Saya yakin ahli-ahli Umno akan terus setia kepada parti melebihi kesetiaan kita kepada mana-mana individu di dalam parti,” katanya yang juga ahli Parlimen Rembau.
Najib kekal popular dalam kalangan orang Melayu yang memanggil beliau “Bossku”.
Khairy, yang merupakan antara pemimpin Umno pertama menggesa Najib meletakkan jawatan sebagai presiden parti selepas kekalahan Barisan Nasional pada piihan raya umum 2018, juga berkata sudah tiba masanya parti itu untuk membuat peralihan generasi kepimpinan yang bakal membawa parti ke era yang baru.
Najib didapati bersalah atas tujuh pertuduhan dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, serta tambahan lima tahun penjara sekiranya gagal membayar denda.
Hukuman penjara 12 tahun adalah untuk tuduhan salah guna kuasa, manakala hukuman 10 tahun penjara untuk setiap pertuduhan bagi tiga tuduhan pecah amanah dan tiga tuduhan pengubahan wang haram. Bagaimanapun kesemua hukuman akan berjalan serentak.
Najib, 67, berdepan lebih banyak pendakwaan di bawah empat lagi perbicaraan jenayah. – 28 Julai, 2020.
Komen