Noor Hisham tegur penyokong Najib tiada kawalan kendiri di perkarangan mahkamah


Ragananthini Vethasalam

Kumpulan penyokong Najib Razak yang berhimpun di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 28 Julai, 2020.

KETUA Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menegur kumpulan penyokong Najib Razak yang berhimpun di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

“Sudah terang lagi bersuluh setiap hari Kementerian Kesihatan mengingatkan rakyat Malaysia untuk patuh kepada SOP untuk penjarakan selamat sekurang-kurangnya satu meter, memakai pelitup separuh muka dan kerap cuci tangan. Sedih bila melihat keadaan begini tiada kawalan kendiri,” katanya menerusi Twitter.

Kementerian Kesihatan minggu lalu memberi amaran mengenai kemungkinan berlaku kenaikan jumlah kes Covid-19 berikutan peningkatan kes daripada kluster baharu.

Pada Ahad, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob juga memberi peringatan kemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan semula sekiranya jumlah kes mencapai tiga digit.

“Jumlah kes makin meningkat. Menurut Kementerian Kesihatan ini adalah kerana kelalaian. Kita harap masih belum terlambat untuk pastikan jumlah kes rendah,” katanya.

Terdahulu hari ini ahli Parlimen di Dewan Rakyat menyatakan kebimbangan mereka berhubung risiko jangkitan Covid-19 dan kemungkinan wujud kluster baharu berikutan perhimpunan penyokong Najib Razak di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Bimbang dengan keadaan itu, Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat, berkata kes Covid-19 masih wujud dan kemungkinan wujudnya kluster baharu tetap ada.

“.… terutamanya apabila hari ini kita dengar ada satu himpunan di mahkamah, kita bimbang berlaku kluster baharu akibat daripada satu perhimpunan yang tidak dikekang dan dikawal.

“Langkah pencegahan wajib diamalkan malahan lebih berdisiplin secara bersama bagi memastikan penularan ini benar-benar tamat. Kita tidak kalah, tetapi kita belum menang,” katanya.

Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) dalam perbahasannya turut menasihati seluruh rakyat agar terus mematuhi SOP dan merakamkan penghargaan kepada barisan hadapan yang sentiasa berusaha membendung penularan Covid-19.

“Rakyat diminta untuk patuh segala arahan yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun sebelum sesi perbahasan bermula mengingatkan semua ahli Parlimen untuk sentiasa mematuhi SOP di dalam dan di luar Parlimen. – 28 Julai, 2020.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen