5 warga Indonesia cuba seludup 230 kilogram ganja ditahan 


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis menahan lima lelaki warga Indonesia yang cuba menyeludup masuk ganja seberat 230 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM700,000 di perairan Pulau Beras Basah di Langkawi.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata bot peronda agensi itu mengesan dua bot dekat Pulau Beras Basah pada Sabtu pukul 11.30 malam, dan sebaik sahaja dihampiri suspek bertindak melarikan diri dan dikejar oleh anggota agensi itu.

“Suspek kemudian dilihat mencampakkan  beberapa bungkusan besar ke laut, namun sebuah bot Maritim Malaysia berjaya memungut empat guni besar yang dibuang itu.  Dua suspek dalam bot pertama dan tiga lagi dalam bot kedua kemudiannya ditahan 20 minit kemudian,” katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat agensi itu di Bukit Malut di Langkawi hari ini.

Kedua-dua bot terbabit termasuk dua lagi guni besar yang ditemukan dalam bot kedua telah ditunda ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut untuk tindakan lanjut serta lima suspek itu turut menjalani ujian saringan Covid-19.

Lima suspek berusia antara 25 hingga 54 tahun dan barang rampasan itu telah diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis untuk siasatan lanjut di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Bernama, 27 Julai, 2020.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen