Iskandar Samad bukan lagi pesuruhjaya PAS Selangor


Zulkifli Sulong

EXCO Perumahan Selangor Iskandar Samad digugurkan daripada barisan kepimpinan PAS walaupun berjaya mengekalkan jawatan naib presiden pada pemilihan parti dalam muktamar parti Islam itu hujung minggu lalu.

Iskandar kini bukan lagi pesuruhjaya PAS Selangor dan tempatnya digantikan oleh Salehin Mukhyi.

Selain Iskandar, Mustafa Ali juga tidak dilantik semula sebagai ketua pengarah pilihan raya dengan jawatan itu kini digalas bekas setiausaha politik Hadi Awang, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Pada muktamar lalu, Mustafa tidak bertanding dalam mana-mana jawatan.

Pengumuman itu dibuat Setiausaha Agung PAS Takiyudin Hassan hari ini.

Dalam pengumuman itu, Nasrudin Hassan dikekalkan sebagai ketua penerangan dan Razman Zakaria dipilih sebagai bendahari PAS yang baharu.

Kabinet baharu PAS diputuskan dalam mesyuarat AJK PAS Pusat pagi ini iaitu mesyuarat kedua selepas Muktamar PAS ke-63 yang meluluskan usul memutuskan hubungan PAS dengan PKR.

Mesyuarat pertama dibuat selepas muktamar di Alor Setar 1 Mei di mana Takiyudin dikekalkan sebagai setiausaha agung PAS.

Mustafa dan Iskandar adalah dua pemimpin PAS yang berusaha bersungguh-sungguh mahukan parti Islam itu bekerjasama dengan parti pembangkang lain, khasnya PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dalam pilihan raya umum akan datang.

Selain tidak dikekalkan sebagai pengarah pilihan raya, Mustafa juga tidak dilantik untuk memegang apa-apa jawatan dalam Kabinet PAS kali ini.

Mustafa selaku veteran pilihan raya PAS selalu berhubung dengan Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin serta rapat dengan Azmin Ali, menteri besar Selangor yang juga timbalan presiden PKR bagi terus kekal dalam blok pembangkang.

Dalam Kabinet baharu itu juga, Satiful Bahri Mamat juga digugurkan daripada jawatan pesuruhjaya PAS Terengganu yang digantikan kepada Husin Awang, tokoh ulama PAS.

Razman yang dilantik sebagai bendahari turut dikekalkan sebagai pesuruhjaya PAS Perak.

Menjawab soalan media, Takiyudin berkata Iskandar tidak lagi dilantik sebagai pesuruhjaya kerana beliau naib presiden dan jawatan itu lebih tinggi berbanding pesuruhjaya.

“Ini membolehkan Salehin fokus kepada Selangor kerana dia juga bukan exco,” kata Takiyudin.

Mustafa ketika dihubungi di Kuala Terengganu berkata beliau tidak mendapat apa-apa maklumat lagi mengenai perlantikan baharu itu.

“Kalau sudah tidak dilantik tidak perlulah dimaklumkan,” kata Mustafa kepada The Malaysian Insight. – 6 Mei, 2017.


Sign up or sign in here to comment.


Comments