Akta Finas mesti diperbaharui untuk lindung kebebasan bersuara


KAMI menyambut baik janji daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah bahawa kerajaan tidak akan menggunakan Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta Finas atau Akta 244) untuk melanggar kebebasan peribadi di media sosial.

Berita ini timbul selepas kenyataan beliau yang memeranjatkan di sidang Dewan Rakyat semalam bahawa semula pengeluaran filem di Malaysia, sama ada di aliran utama media untuk penyiaran tradisional atau di media sosial peribadi, mesti memiliki lesen filem.

Kami juga maklum bahawa menteri mengesahkan pengguna media sosial bebas untuk menghasilkan dan memuat naik video online tanpa memerlukan lesen atau berada dalam ketakutan didakwa daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), badan kerajaan utama untuk memajukan industri filem tempatan.

Menteri juga membuat kenyataan ada keperluan untuk beberapa undang-undang di bawah kuasa kementerian beliau, seperti Akta Finas, untuk dikemaskinikan. Beliau juga berjanji untuk meminda Akta Finas untuk menepati masa kini.

Dalam semangat ini, kami ingin mengemukakan beberapa isu penting dan cadangan berkaitan:

1. Bidang kuasa lesen di bawah Akta Finas mesti diberi definasi yang jelas

Pada masa ini, undang-undang boleh ditafsirkan untuk merangkumi segala bentuk “pengeluaran filem”; definasi “filem” dalam Akta Finas termasuk filem cerita, filem pendek, trailer, dokumentari, imej bergerak, filem-filem yang ada bunyi atau tidak dan filem bukan untuk tayangan umum atau sebaliknya.

Akta ini juga senyap berkenaan dengan “saluran media”. Jadi, ia boleh merangkumi pengeluaran dan penayangan filem di pawagam, digital, awam atau persendirian.

Ini bermakna pengeluaran filem boleh, secara teknikal, merangkumi video yang dibuat di rumah yang dirakam menggunakan telefon bimbit seseorang ataupun pengeluaran filem berjuta ringgit untuk tayangan di pawagam.

Definisi “produksi filem” perlu dipinda dan dijelaskan untuk mengelakkan risiko Akta Finas digunakan secara sewenang-wenangnya bergantung kepada “niat” kerajaan. 

2. Mesti ada justifikasi yang jelas untuk tujuan perlesenan

Contohnya, untuk mengumpul data, perancangan atau mengumpul dana bagi pembuat filem. Keperluan ini mesti sama dan terhad kepada tujuan yang dinyatakan.

Selain itu, keperluan di bawah Akta Finas pada masa ini bahawa syarikat mesti mempunyai sekurang-kurangnya RM50,000.00 kapital berbayar untuk dilayakkan mendapat lesen filem atau pengeluaran video telah menyebabkan kebimbangan dan ketidakpuashatian dalam kalangan pembuat filem yang muda, bebas dan bukan komersil yang tidak mempunyai keperluan kewangan tersebut.

Keperluan ini mesti disingkir daripada undang-undang; jika tidak, ia akan mengurangkan kuantiti dan kualiti filem tempatan termasuk dokumentari, serta mempunyai impak yang teruk kepada perkembangan filem industri di Malaysia.

3. Syarikat pengeluaran berita seperti Al Jazeera tidak sepatutnya jatuh di bawah bidangkuasa Akta Finas jika mereka dikreditasikan sebagai media oleh Jabatan Penerangan.

Sebarang keputusan terhadap kes Al Jazeera dalam dokumentari “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” akan menjadi duluan dan mempunyai potensi untuk disalahguna, memandangkan ia boleh digunakan dengan sewenang-wenangnya ke atas sebarang produksi, termasuk filem atas talian, selagi ia dianggap sebagai mempersoalkan dan mengkritik kerajaan.

Sehubungan itu, ia berpotensi untuk mencetus ketakutan dan kerisauan terhadap penapisan filem yang tidak semena di kalangan pembikin filem dan menghalau syarikat produksi dan filem antarabangsa daripada melabur dan menubuhkan operasi di Malaysia.

4. Perlesenan oleh Finas tidak boleh digunakan sebagai alat kawalan dan penapis.

Kenyataan yang dibuat Zakaria Abdul Hamid, pengerusi Finas, bahawa semua rakaman video mesti mendapatkan lesen daripada agensi beliau bagi memastikan rakaman video tersebut tidak mencetuskan kerusuhan atau menyebabkan kekacauan awam menunjukkan bagaimana Finas melihat fungsinya.

Ini menunjukkan secara jelas bahawa: (i) terdapat pertindihan fungsi antara Finas, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Lembaga Penapisan Filem; (ii) ia melanggar syarak kawal-selia sendiri industri yang termaktub di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia serta; (iii) terdapat dua lapisan penapisan dan kawalan kandungan filem.

Kami merayu kepada Finas untuk kekal kepada fungsinya yang sebenar iaitu “meningkatkan, memupuk dan membantu” perkembangan industri filem di Malaysia, seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 6(1) Akta Finas, dan bukan berfungsi bertentangan dengan kepentingan pembuat filem.

Jika Finas melaksanakan regulasi di bawah undang-undang untuk menapis dan menghukum pembuat-pembuat filem, ia bertentangan dengan objektif dan tujuannya sendiri.

Oleh itu, Finas tidak boleh membiarkan agensi Finas digunakan sebagai alat oleh pemerintah pada masa ini untuk mendiamkan pembangkang dan menyasarkan syarikat media seperti Al-Jazeera hanya kerana dokumentari mereka meletakkan kerajaan di bawah anggapan yang buruk.

Selain itu, menteri komukasi dan multimedia mesti menegakkan secepat mungkin janji beliau untuk meminda Akta Finas, untuk melindungi kebebasan expressi dan kebebasan media.

Sebagai pemegang kepentingan dan ahli sekutu, kami sedia berbincang dan berdialog dengan menteri bagi mendapatkan pelan penyelesaian bagi menyelaraskan undang-undang kita untuk melindungi hak untuk kebebasan bersuara dan kepentingan awam. – 24 Julai, 2020.

* Dikeluarkan oleh Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dan Pertubuhan Perfileman Sosial Malaysia (FFN atau Freedom Film Network).


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen