Tidak perlu lesen untuk liputan berita, kata pengerusi Finas


Ragananthini Vethasalam

Liputan berita tidak perlu mendapatkan lesen Finas namun pengambaran dokumentari perlu mendapatkannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Julai, 2020.

LESEN pengeluaran filem dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) tidak diperlukan untuk liputan berita, kata pengerusinya Zakaria Abdul Hamid.

Beliau berkata agensi berita tidak perlu memohon lesen penggambaran untuk liputan berita yang merangkumi sidang akhbar dan rakaman B-roll.

Bagaimanapun kecuali agensi berita negeri seperti RTM dan Bernama, agensi berita swasta akan diminta untuk mendapatkan lesen pengeluaran filem dan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) untuk penggambaran dokumentari.

“Dokumentari perlu mendapatkan lesen tetapi untuk sidang media dan lain-lain yang dianggap sebagai liputan berita tidak perlu.

“Penggambaran dokumentari berbeza dari penggambaran untuk liputan berita,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Beliau bagaimanapun menggalakkan agensi berita untuk memohon lesen yang dapat diperbaharui setiap tahun.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah memberitahu Dewan Rakyat semalam bahawa semua filem termasuk yang disiarkan di media sosial perlu mendapatkan lesen Finas.

Saifuddin berkata syarat untuk Lesen Pengeluaran Filem dan Surat Perakuan Penggambaran (SPP) terpakai kepada semua pembikin filem sama ada dari agensi media arus perdana atau media peribadi.

Dia bagaimanapun hari ini berkata kabinet telah bersetuju bahawa Akta Finas 1981 tidak akan digunakan untuk menyekat kebebasan peribadi invidiu di media sosial.

Kerajaan juga akan terus menyokong kebebasan bersuaran dan kebebasan individu di media sosial, katanya.

Isu lesen Finas bagi dokumentari dan filem bukan komersial timbul baru-baru ini susulan tindakan tegas terhadap Al Jazeera berhubung dokumentarinya berjudul “Locked up in Malaysia’s Lockdown”.

Saluran berita antarabangsa itu mendakwa berlaku penganiayaan terhadap pendatang tanpa dokumen semasa perintah kawalan pergerakan bagi mengekang Covid-19. 

Al Jazeera disiasat di bawah Seksyen 22 (1) Akta Finas 1981 (Pindaan 2013) kerana melakukan penggambaran tanpa lesen yang sah.– 24 Julai, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen