Kabinet kata Akta Finas tak akan hukum pengguna media sosial


Kabinet beri jaminan pengguna media sosial tidak akan dikenakan tindakan bawah Akta Finas. – Gambar AFP, 24 Julai, 2020.

KABINET hari ini bersetuju yang Akta Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) 1981 tidak akan digunakan untuk menyekat kebebasan peribadi individu dalam media sosial, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah.

Tambahnya, Kabinet juga bersetuju akan terus menyokong kebebasan bersuara dan kebebasan individu dalam media sosial.

“Pengguna media sosial bebas menggunakan platform yang sedia ada seperti TikTok, YouTube dan sebagainya termasuk menghasilkan dan memuatnaik video seperti biasa tanpa perlu memohon lesen atau bimbang didakwa oleh Finas.

“Kerajaan akan meminda Akta Finas 1981 (Akta 244) dengan mengambil kira situasi semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, Kabinet membincangkan perkara itu setelah wujud kekeliruan tentang laporan berita yang memetiknya tentang keperluan lesen Finas untuk perfileman.

Semalam, Saifuddin memberitahu Dewan Rakyat yang semua penerbit filem perlu memohon Lesen Produksi Filem dan Surat Perakuan Penggambaran (SPP) sebelum sebarang rakaman kandungan untuk platform dalam talian dan saluran tradisional.

Katanya, syarat itu terpakai untuk semua penerbit filem sama ada agensi media arus perdana atau media persendirian.

Bagaimanapun, selepas itu, beliau mengeluarkan kenyataan bahawa kenyataan itu hanyalah untuk menjelaskan Akta Finas sedia ada yang diluluskan Parlimen pada 1981 dan digunakan oleh pentadbiran terdahulu.

“Pada 1981 teknologi pada masa itu tiada langsung media sosial seperti Tik Tok, Youtube dan sebagainya. Kementerian ambil maklum bahawa Akta ini perlu penambahbaikan,” katanya.

Dalam kenyataan hari ini, Saifuddin berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia sudah memulakan gerak kerja untuk meminda akta tersebut supaya selari dengan situasi semasa. – 24 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen