Kes Covid-19 mungkin naik mendadak jika R0 lebih 1.6, kata KP Kesihatan


Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata ketika ini kadar R0 telah naik kepada 1.36 berbanding 0.3 ketika perlaksanaan PKPB yang berakhir 9 Jun lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Julai, 2020.

MALAYSIA mungkin berdepan peningkatan mendadak kes baharu Covid-19 dalam tempoh terdekat jika kadar kebolehjangkitan atau R-naught (R0) naik lebih 1.6.

Semasa menyatakan kebimbangan itu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata ketika ini kadar R0 telah naik kepada 1.36 berbanding 0.3 ketika perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berakhir 9 Jun lepas.

Jelasnya, kenaikan nilai R0 berlaku susulan peningkatan kes dan pengesanan beberapa kluster baharu, baru-baru ini.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan kes pada 9 Julai adalah 63 kes dan hari ini pertambahan 143 kes kebolehjangkitan, iaitu berganda.

“Kalau R-naught (R0) kita meningkat, kita bimbang ini bererti semakin ramai akan dijangkiti. Apa yang membahayakan kita adalah kalau R-naught meningkat lebih 1.6,” katanya pada sidang media hari ini.

Justeru, beliau merayu kepada rakyat Malaysia supaya terus mematuhi segala arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang  ditetapkan kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Hanya ada tiga perkara perlu laksanakan iaitu penjarakan sosial satu meter, memakai pelitup separuh muka dan kerap mencuci tangan dengan sabun atau sanitiser,” katanya.

Mengenai keputusan kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup separuh muka ketika berada dalam pengangkutan awam dan tempat awam yang sesak mulai 1 Ogos ini, Dr Noor Hisham menyeru agar rakyat segera mengamalkan pemakaian alat pelindung itu tanpa menunggu tarikh penguatkuasaan.

“Walaupun arahan mewajibkan pakai pelitup separuh muka berkuat kuasa 1 Ogos, tapi kita boleh wajibkan diri kita, keluarga kita untuk memakainya lebih awal,” katanya.

Beliau sekali lagi mengingatkan bahawa pemakaian pelitup separuh muka boleh mengurangkan hingga 60 peratus potensi jangkitan Covid-19 dan penjarakan sosial satu meter pula hampir 70 peratus. β€“ Bernama, 23 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen