Industri penerbangan perlu 3 tahun untuk pulih, kata penganalisis


Ragananthini Vethasalam

Industri penerbangan mungkin memerlukan tiga tahun untuk kembali pulih seperti pra pandemik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Julai, 2020.

INDUSTRI penerbangan mungkin memerlukan tiga tahun untuk melonjak dan pulih – antara sektor yang paling teruk terjejas akibat pandemik Covid-19 – kembali seperti normal, kata penganalisis.

Mereka berkata industri itu mungkin tidak akan pulih sepenuhnya seperti mana sebelum pandemik, dan keadaan terbaik sekalipun ialah ia dijangka kembali pulih dalam tempoh 18 bulan akan datang.

Pengasas syarikat konsultasi penerbangan Endau Analytics, Shukor Yusof berkata ada kemungkinan industri penerbangan stabil dalam tempoh 18 bulan.

“Dengan sedikit tuah, keadaan akan stabil dalam tempoh 18 bulan. Keadaan pulih sepenuhnya seperti pra Covid-19 mungkin tidak akan berlaku, tetapi untuk normal akan ambil sekurang-kurangnya tiga tahun,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Syarikat penerbangan akan terjejas teruk dalam masa panjang selagi tidak ada ubat untuk virus itu,” katanya.

Seorang lagi penganalisis penerbangan yang enggan dikenali berkata penerbangan melalui pesawat tidak akan kembali normal hingga 2022.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong baru-baru ini berkata pasaran penerbangan domestik akan mengambil masa 18 bulan untuk pulih daripada kesan pandemik koronavirus sementara pasaran antarabangsa akan memerlukan tiga tahun sebelum kembali normal.

Beliau berkata Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menjangkakan harga tiket penerbangan akan kembali seperti sebelum Covid-19, pada November.

Mengulas perkara itu, penganalisis berkata ramalan kerajaan itu agak munasabah, tetapi konservatif.

Potensi cabaran kepada industri itu mungkin datang daripada gelombang kedua wabak Covid-19 dan keyakinan pelanggan yang rendah, kata penganalisis.

Bagaimana prestasi Malaysia Airlines dan AirAsia?

Shukor berkata kunci untuk pemulihan Malaysia Airlines Bhd (MAB) dan AirAsia bergantung kepada kecekapan dan disiplin pengurusan.

“Penerbangan antarabangsa akan menjadi yang terakhir pulih daripada pandemik itu. Kunci untuk MAS dan AirAsia pulih ialah kecekapan pengurusan.

“Perkara itu kurang dalam AS tetapi tidak di AirAsia.

“Pencapaian MAS dan AirAsia akan sangat bergantung kepada apa yang kerajaan buat sekarang,” katanya.

Beliau berkata tiada jumlah wang yang boleh membantu memberi keuntungan kepada syarikat penerbangan negara MAS, kecuali langkah drastik dipertimbangkan.

Sementara itu katanya, AirAsia akan terpaksa bergelut dalam masa terdekat, tetapi bagi jangka panjang, ia akan menjadi syarikat berdaya maju. – 24 Julai, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen