Finas trending selepas menteri sahkan media sosial pun perlu lesen penggambaran 


Ramai pengguna media sosial memberi reaksi negatif mengenai peraturan lesen penggambaran dan ada yang memuat naik video pendek di Twitter untuk menyindir Finas. – Gambar AFP, 23 Julai, 2020.

PENGGUNA media sosial memberikan reaksi negatif selepas Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah mengesahkan di Dewan Rakyat bahawa semua rakaman filem, termasuk yang dinaikkan ke media sosial, memerlukan lesen penggambaran daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Kenyataan menteri itu menjadikan hantaran video melalui TikTok dan Instagram juga memerlukan kelulusan penggambaran daripada Finas.

Finas malah duduk di tangga teratas topik atau kata kunci yang trending di Twitter di Malaysia awal pagi ini.

Beberapa pengguna Twitter juga langsung memuat naik video pendek masing-masing di Twitter dan menyindir Finas, termasuk Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Video lompat lompat saya di Muar kena dapatkan lesen Finas RM50,000 juga ke? 

“Kasi chance please.

“Majoriti netizens tak mampu nak bayar RM50,000 untuk post video on social media. Setuju?” tulisnya di Twitter pagi ini.

Penerbit buku dan personaliti radio Ezra Zaid malah memuat naik video kucingnya dan memerli Finas.

 Seorang pengguna Twitter dengan nama @patriciahului menyifatkan penjelasan menteri itu satu langkah ke belakang yang dikuatkuasakan oleh “kerajaan pintu belakang”.

Wartawan Norman Goh menyifatkan peraturan itu akan mendatangkan lebih banyak masalah. 

Saifuddin memberitahu Dewan Rakyat hari ini mengikut undang-undang, segala bentuk penggambaran memerlukan lesen Finas termasuk rakaman media sosial peribadi.

Menjawab soalan apakah syarat lesen itu terpakai ke atas pengguna Instagram dan TikTok, Saifuddin berkata semua penggambaran tertakluk kepada undang-undang itu.

“Penerbit filem, wajib memohon Lesen Pengeluaran Filem serta Surat Perakuan Penggambaran (SPP) tidak kira mereka adalah agensi media arus perdana atau media personal yang menerbitkan filem di platform media sosial atau saluran tradisi.

“Kita memang galakkan semua orang kecil besar, tua muda, individu atau organisasi untuk mengeluarkan apa-apa jenis filem seperti yang saya petik tadi asalkan ikut undang-undang sedia ada,” katanya semasa menjawab soalan semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Beliau menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kluang Wong She Qi.

Dalam satu hantaran di Twitter, Wong bimbang peraturan yang meluas itu akan digunakan oleh kerajaan untuk membungkam kritikan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil yang mengemukakan soalan tambahan semasa sesi soal jawab sebelumnya kemudian berkata peraturan itu membuka ruang kepada pendakwaan berpilih.

“Saya tak pasti menteri sedar (atau tidak) masalah secara keseluruhan. Kesannya amat besar. Ramai tanya bila kita terbit video dalam media sosial adakah ia tertakluk dalam takrifan menteri.

“Yang lebih merisaukan takrifan tersebut adalah bersifat pendakwaan terpilih di mana setengah orang sahaja yang terkena dengan bacaan takrifan, yang lain tak ada kesan,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Aktivis Marina Mahathir pula mempersoalkan adakah peraturan itu terpakai kepada Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad yang sebelum ini menyeru pelajar universiti menyertai pertandingan video melalui TikTok.

Isu lesen penggambaran Finas berbangkit selepas Putrajaya membantah tindakan Al-Jazeera yang berpejabat di Qatar menyiarkan dokumentari “Locked Up in Malaysia’s Lockdown”.

Dokumentari itu mendedahkan layanan Putrajaya terhadap warga asing tanpa dokumen perjalanan sah ketika Malaysia membendung penularan Covid-19.

Putrajaya mempersoalkan paparan dokumentari itu yang disifatkan berat sebelah dan tidak adil.

Ketika itulah pihak berkuasa berkata mahu menyiasat sama ada Al-Jazeera, sebuah stesen berita, mempunyai lesen penggambaran atau tidak untuk menerbitkan dokumentari itu. – 23 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen