Pengurusan kes Patrick Teoh hina TMJ 7 September


Patrick Teoh didakwa mengeluarkan kenyataan jelik terhadap Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Mei lalu. – Gambar YouTube, 20 Julai, 2020.

MAHKAMAH Sesyen Johor Bahru hari ini menetapkan 7 September depan sebagai tarikh pengurusan semula kes selebriti dan deejay terkenal Patrick Teoh yang didakwa mengeluarkan kenyataan jelik terhadap Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Mei lalu.

Hakim Faiz Dziyauddin menetapkan tarikh itu selepas peguam yang mewakili Teoh, Wong Hong Yi dan M Puravalen memaklumkan mahu merujuk kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi kerana berpendapat terdapat isu Perlembagaan yang perlu dijelaskan, sebelum kes diteruskan untuk perbicaraan.

Permohonan pihak pembelaan itu tidak mendapat bantahan dari Timbalan Pendakwa Raya Lydia Salleh.

Mahkamah turut membenarkan permohonan peguam agar penjamin Teoh iaitu isterinya, Chan Hui Min, 52, tidak perlu hadir ke mahkamah untuk prosiding akan datang kerana mempunyai dua anak yang masih bersekolah.

Terdahulu, Teoh yang berkemeja putih sambil ditemani Chan, tiba pada pukul 8.15 pagi di Kompleks Mahkamah Johor Bahru untuk sebutan semula kes berkenaan.

Teoh atau nama sebenarnya Teoh Kang Yong , 73 , dituduh secara sedar membuat kenyataan jelik terhadap Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menggunakan akaun Facebooknya pada pukul 5.00 petang, 8 Mei lepas dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Bagaimanapun, Teoh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan. 

Pertuduhan di bawah Subseksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (akta 588) itu memperuntukkan hukuman mengikut Subseksyen 233(1) akta sama iaitu, didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan. – Bernama, 20 Julai, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen