Lebih 5,000 kematian akibat Covid-19 di Afrika Selatan


Afrika Selatan mencatatkan 85 kematian baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah kematian sebanyak 5,033. – Gambar EPA, 19 Julai, 2020.

ANGKA kematian Afrika Selatan akibat Covid-19 melepasi angka 5,000 menjadikan ia negara paling teruk terjejas akibat virus itu di benua berkenaan, menurut angka rasmi yang dikeluarkan semalam.

Afrika Selatan mencatatkan 85 kematian baharu dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah kematian sebanyak 5,033.

Sebanyak 13,449 jangkitan baharu juga dikesan dengan jumlahnya sebanyak 364,328, angka yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Menteri Kesihatan Zweli Mkhiz meminta rakyat untuk mematuhi langkah-langkah kebersihan yang disarankan.

“Sebagai kerajaan kami sudah menggerakan setiap sumber tetapi kerajaan tidak dapat menguruskannya sendiri.

“Kami menyaksikan kurangnya penjarakan sosial. Topeng muka tidak digunakan atau tidak dipakai dengan betul.

“Ini secara tidak langsung mempengaruhi peningkatan jumlah dalam dua minggu ke depan. Kemampuan kita untuk memecahkan kitaran jangkitan bergantung pada kesediaan kita untuk terus fokus dan berdisiplin serta serius menanganinya,” katanya.

Kemuncak wabak di Afrika Selatan dijangkakan dalam beberapa minggu ke depan.

Pihak berkuasa menguatkuasakan perintah pengurungan pada akhir Mac tetapi langkah-langkahnya dilonggarkan untuk mengelakkan keruntuhan ekonomi. – AFP, 19 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen