MTUC desak Putrajaya buat kenyataan jelas lanjutan moratorium


Ravin Palanisamy

Setiausaha Agung MTUC J Solomon berkata statistik 800,000 orang hilang kerja menjadi alasan kuat mengapa moratorium perlu dilanjutkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Julai, 2020.

MENJELANG tarikh akhir moratorium bank, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) J Solomon menggesa kerajaan membuat kenyataan yang jelas dan tegas mengenai lanjutan moratorium atau sebaliknya.

Solomon meminta Perdana Menteri Muhyiddin Yassin atau Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz membincangkan hal ini di Parlimen berhubung keputusan akhir kerajaan, bagi menamatkan ketidakpastian mengenainya.

Bank Negara Malaysia (BNM) pada Mac mengumumkan moratorium enam bulan mulai 1 April, untuk membantu individu dan perniagaan yang terjejas wabak Covid-19.

Pada 28 Jun, Tengku Zafrul berkata kerajaan sedang bekerjasama dengan bank untuk memanjangkan moratorium pinjaman bank selama enam bulan.

Namun, pada 3 Julai, Penolong Gabenor BNM Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata bank pusat tiada hasrat untuk melanjutkan tempoh moratorium enam bulan bagi pinjaman, yang akan berakhir pada 30 September.

MTUC mempersoalkan sama ada kenyataan penolong gabenor bank pusat itu dikeluarkan dengan restu Kementerian Kewangan, selepas ia mengadakan perbincangan dengan pihak bank.

Memetik statistik rasmi yang lebih 800,000 orang hilang kerja dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, Solomon berkata ia harus menjadi peringatan yang serius kepada kerajaan dan bank mengenai mengapa moratorium mesti dilanjutkan selama enam bulan lagi.

“MTUC berulang kali mengulangi perlunya moratorium dilanjutkan demi ratusan ribu pekerja yang menganggur atau dipaksa menerima pemotongan gaji yang besar dan masih susah.

“Situasi mereka tetap kritikal walaupun pembukaan ekonomi secara beransur-ansur ketika sebahagian besar pandemik Covid-19 berjaya dibendung,” kata Solomon dalam satu kenyataan hari ini, sambil menambah yang pelbagai pemain industri juga akan meminta penangguhan pinjaman perniagaan mereka untuk dilanjutkan.

Solomon berkata kerajaan sekurang-kurangnya harus mempertimbangkan untuk melanjutkang moratorium kepada kelompok B40 dan M40 kerana berasa penamatan bantuan itu pada September akan membawa kepada penderitaan dan kesulitan kepada masyarakat. – 16 Julai, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen