Kepadatan penduduk punca Selangor catat banyak kes Covid-19


Seorang kakitangan kesihatan melakukan ujian saringan Covid-19 di sebuah kampung di Klang, Selangor pada April. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Julai, 2020.

KEPADATAN penduduk merupakan punca Selangor yang kini mempunyai 6.5 juta penduduk merekodkan kes Covid-19 antara yang tertinggi di negara ini.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor Dr Siti Mariah Mahmud berkata perkara itu dapat dilihat di kawasan seperti Petaling yang merekodkan jumlah kes yang tinggi susulan penduduk yang padat. 

“Terdapat satu fasa apabila Selangor berada di tempat ketiga tertinggi kes Covid-19 iaitu di belakang Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohamed Azmin Ali (Bersatu-Bukit Antarabangsa) berhubung punca jumlah kes Covid-19 tinggi di Selangor.

Dalam pada itu, Dr Mariah berkata Selangor juga mengambil langkah awal menangani penularan wabak tersebut dengan melakukan ujian saringan ke atas kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas.

“Saya rasa kerajaan negeri berjaya (tangani penularan) kerana kita dapat membendung perebakan wabak dalam kalangan komuniti dan 10 kes yang aktif (direkodkan) di Sepang semalam pun adalah disebabkan oleh warga asing di depoh tahanan,” katanya. – Bernama, 15 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen