Singapura lapor 347 kes baharu Covid-19


Dengan perkembangan terkini itu menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di dalam republik itu meningkat kepada 46,630 kes. – Gambar EPA, 14 Julai, 2020.

SINGAPURA dalam laporan awalnya mengesahkan 347 kes jangkitan Covid-19 dengan tujuh kes berlaku dalam komuniti.

Mengikut data ringkas dikeluarkan Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) hari ini, daripada tujuh kes tersebut, satu melibatkan warga negara Singapura dan enam melibatkan pemegang pas kerja.

Dengan perkembangan terkini itu menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di dalam republik itu meningkat kepada 46,630 kes.

Kementerian itu menyatakan terdapat dua kes import melibatkan mereka yang dikenakan Notis Duduk Rumah, sebaik tiba di Singapura.

Majoriti besar kes hari ini masih melibatkan pemegang pas kerja yang tinggal di asrama pekerja.

“Sehingga hari ini, kami telah menguji dan mengesahkan lebih daripada 215,000 pekerja atau dua pertiga yang tinggal di asrama, bebas daripada penyakit tersebut. Usaha diteruskan bagi menjadikan asrama-asrama ini untuk diistiharkan bebas dan untuk pekerja bekerja semula,” katanya.

MOH menyatakan yang mereka kini ke arah mengesahkan kira-kira 80 peratus daripada pekerja yang tinggal di asrama bebas daripada penyakit itu pada hujung Julai dan melengkapkan ujian ke atas penghuni asrama pada pertengahan Ogos.

“Dalam tempoh beberapa hari  ini, kami ada lebih ramai pekerja asing di pelbagai asrama pekerja yang menamatkan tempoh isolasi mereka dan diuji untuk Covid-19.

“Disebabkan sebahagian daripada mereka datang dari asrama dengan kadar jangkitan yang lebih tinggi, kami menjangkakan peningkatan yang lebih tinggi dalam kes yang disahkan dalam tempoh beberapa hari yang akan datang daripada kumpulan pekerja asing ini,” katanya.

Dalam data penuh yang dikeluarkan lewat semalam, Singapura mengklasifikasikan 616 kesnya sebagai kes import, 2,063 sebagai kes komuniti dan 43,604 sebagai penghuni asrama.

Sehingga tengah hari semalam, 42,541 atau 92% daripada mereka yang dijangkiti telah pulih sepenuhnya dan discaj daripada hospital ataupun pusat penjagaan komuniti.

Terdapat 166 kes yang disahkan masih dihospital semalam, dengan satu daripanya berada di unit rawatan rapi.

Kenyataan itu menambah 3,550 pesakit yang bergejala atau disahkan sihat secara klinikal tetapi didapati positif dalam saringan Covid-19 telah diasingkan dan dirawat di kemudahan penjagaan komuniti.

Sehingga kini, 26 orang telah meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19, dengan dua kematian pertama dilaporkan pada 21 Mac.

Satu kluster baru dikenal pasti semalam, sebuah asrama di 59H Tuan South Avenue 1. – Bernama, 14 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen