Susah sekarang Pakatan hendak balik Putrajaya, kata Dr Mahathir


PAKATAN Harapan berdepan jalan sukar merampas kembali Putrajaya dan meraih sokongan ahli Parlimen kerana Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sudah mengukuhkan sokongan dengan jawatan lumayan, kata Dr Mahathir Mohamad.

“Kita perlukan sokongan mencukupi untuk kembali tetapi Muhyiddin menarik ramai penyokong saya untuk menyertainya. Dia tawarkan jawatan lumayan dan sekarang saya tak fikir saya akan dapat majoriti.

“Bagaimanapun, kerajaan semasa juga sendiri tidak pasti sama ada mereka boleh dapat majoriti,” katanya dalam satu wawancara bersama agensi berita Filipina, Investvine.

“Muhyiddin mahu gunakan semua jawatan ini sebagai ganjaran kepada mereka yang menyokongnya atau menjadikan orang menyokongnya dengan memberikan jawatan.

“Dia sudah tukar ketua syarikat yang dilantik ketika saya jadi PM, dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan, dan sekarang speaker (Dewan Rakyat).”

Dr Mahathir merujuk kepada usul Muhyiddin untuk mengugurkan speaker Mohamad Ariff Md Yusof di Parlimen semalam. Usul diluluskan dengan 111 berbanding 109.

Ariff yang mula jadi speaker apabila kerajaan PH berkuasa pada 2018 dipuji kerana menunjukkan sikap berkecuali dan mematuhi peraturan Parlimen.

Dr Mahathir berkata, Ariff ketika jadi speaker membenarkan usul tidak percaya kepada Muhyiddin dicadangkan olehnya dan ini “menjengkelkan perdana menteri.”

“Jadi, dia lantik seseorang yang lebih patuh,” kata negarawan berusia 95 tahun itu.

Bekas pengerusi SPR Azhar Azizan Harun kemudiannya dilantik jadi speaker, tetapi pelantikan itu dikecam pembangkang yang tidak diberikan peluang mencalonkan speaker pilihan mereka.

Dr Mahathir juga menyentuh kemelut dalaman PH, berkata Presiden PKR Anwar Ibrahim berjaya menyakinkan wakil rakyat PH yang beliau mempunyai sokongan majoriti, sehingga menyebabkan Majlis Presiden PH menamakannya sebagai calon perdana menteri dan bukannya Dr Mahathir.

“Ceritanya mungkin berbeza sekarang jika mereka pilih ahli Parlimen Langkawi,” sindirnya.

“Saya ingat PH akan calonkan saya tetapi atas beberapa sebab mereka pilih Anwar Ibrahim yang menyakinkan mereka yang dia ada sokongan.

“Jadi PH namakan dia tetapi akhirnya dia tiada majoriti…benda tak jadi.”

Dr Mahathir meletak jawatan selaku perdana menteri pada Februari selepas partinya, Bersatu diketuai Muhyiddin keluar daripada PH dan membentuk Perikatan Nasional bersama-sama PAS, Umno, kem Azmin Ali daripada PKR dan Gabungan Parti Sarawak.

Muhyiddin mengangkat sumpah selaku perdana menteri kelapan Malaysia pada 1 Mac selepas Agong diyakinkan yang beliau punya sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat. – 14 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen