Malaysia tak akan hantar pulang 521 etnik Rohingya, kata PM


PUTRAJAYA tidak berhasrat untuk menghantar pulang 521 etnik Rohingya yang menceroboh ke negara ini pada Jun 2019 dan Mac 2020, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata kerajaan juga akan memberi perlindungan kepada pendatang itu sehingga memperolehi tempat di negara ketiga atau kembali ke Myanmar.

Katanya, perlindungan akan diberikan berdasarkan prinsip non-refoulement yang menghalang sesebuah negara menghantar pemohon suaka pulang menghadapi penganiayaan di negara asal.

Ia ditetapkan demikian sekiranya siasatan mendapati pendatang asing tanpa izin (Pati) itu memerlukan perlindungan antarabangsa berdasarkan kepada prinsip tersebut, jelasnya.

Tambahnya, ia turut meliputi pengecualian kepada warga asing yang mungkin memerlukan perlindungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Atas dasar kemanusiaan, golongan ini mungkin tidak diusir dan dibenarkan untuk berada secara sementara di dalam negara sehingga mereka ini ditempatkan ke negara ketiga yang lain atau pulang ke negara asal apabila krisis di wilayah Rakhine, Myanmar mulai reda,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Batu Sapi Liew Vui Keong yang meminta beliau menyatakan sama ada kerajaan akan menghantar pulang etnik Rohingya berkenaan ke lautan.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Muhyiddin juga berkata kerajaan masih menyiasat ketibaan 252 warga Myanmar pada Mac dan 269 pada Jun bagi kesalahan imigresen dan jenayah.

“Insiden ini masih di dalam siasatan pihak keselamatan yang berkaitan terutamanya dalam aspek penyeludupan manusia, kesalahan memasuki negara tanpa mempunyai dokumen yang sah, elemen penglibatan jenayah terancang serta aspek keselamatan yang lain,” katanya.

Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun pada 27 Jun menegaskan semua etnik Rohingya akan dihantar pulang ke Myanmar.

Ismail juga dilaporkan mencabar UNHCR untuk mengambil kesemua pendatang Rohingya di Malaysia yang menurutnya mengkritik Malaysia. – 14 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen