Shahidan, Bung Moktar bertikam lidah dengan Dr Mahathir di Parlimen


Ucapan Dr Mahathir Mohamad ketika perbahasan usul tukar speaker dicelah Shahidan Kassim dan Bung Moktar Radin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 13 Julai, 2020.

AHLI Parlimen Barisan Nasional daripada Umno bertikam lidah dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad di Parlimen dan menuduhnya punca utama speaker Dewan Rakyat perlu ditukar.

Mereka mendakwa perkara itu tidak akan berlaku sekiranya Dr Mahathir tidak meletak jawatan selaku perdana menteri Februari lepas.

“Semua ini berlaku kerana Langkawi (Dr Mahathir) berhenti lah hingga berlaku penukaran speaker.

“Kami BN, PAS, GPS diminta menyokong Tun sebagai perdana menteri tetapi malangnya Tun berhenti jadi kami terpaksa pilih orang lain.

“Bila Tun berhenti, kami tiada pilihan selain pilih Pagoh (Muhyiddin Yassin) sebagai perdana menteri,” kata Shahidan Kassim (BN-Arau).

Dr Mahathir bercakap di Dewan Rakyat ketika perbahasan usul menukar Speaker Mohd Ariff Md Yusof.

Usul itu diluluskan dengan majoriti tipis 111 menyokong berbanding 109 menentang, seorang tidak mengundi dan seorang tidak hadir sidang. 

Bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Azhar Azizan Harun kini dilantik sebagai speaker Dewan Rakyat.

Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) turut mencelah, berkata beliau turut mahukan Dr Mahatir sebagai perdana menteri.

“Semua punca dari(pada) Langkawi. Agong sudah nasihat tapi dia nak berhenti juga. Kami terpaksalah cari PM lain.

“Dulu Tun lantik Lathefa Koya dan Tommy Thomas, kita tidak pertikaikan pun, sama saja dengan kita pilih Speaker (Dewan Rakyat),” katanya.

“Perdana menteri hanya mahukan speaker yang selari dengan kerajaan demi kepentingan rakyat,” katanya.

Dr Mahathir kemudiannya membalas celahan itu, berkata Umno bukan lagi Umno dahulu dan beliau tidak lagi boleh bekerjasama dengan parti yang diterajuinya selama 22 tahun.

“Apabila saya diberi pilihan untuk bekerjasama dengan Umno dan Umno bukanlah yang ditubuh dulu, tapi ‘dihijack’ orang tertentu, saya tidak boleh bekerjasama,” katanya.

Tetapi, kenyataan Dr Mahathir itu turut dibantah Bung Moktar yang berkata:

“Umno satu saja. Dulu Tun yang ajar kami, kami ikut ajaran Tun,” katanya. – 13 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen