Imigresen batal permit kerja warga Bangladesh dalam laporan Al Jazeera


JABATAN Imigresen sudah membatalkan permit kerja warga Bangladesh Md Rayhan Kabir yang ditemubual agensi berita antarabangsa Al Jazeera, lapor Harian Metro.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador yang memberitahu Jabatan Imigresen sudah membatalkan permit kerja lelaki berkenaan.

“Oleh itu dia perlu menyerah diri sebelum diusir balik ke negara asalnya,” katanya.

Selasa lepas Jabatan Imigresen mengenal pasti lelaki itu sebagai Rayhan, 25, dan alamat terakhirnya di sebuah syarikat di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur.

Lelaki itu dicari bagi membantu siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Dokumentari Al Jazeera selama 20 minit Locked Up in Lockdown Malaysia itu mendakwa Putrajaya mendiskriminasi pekerja asing di tengah-tengah krisis virus.  

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba mengecam tuduhan yang dibuat dalam dokumentari tersebut dan mengatakan tindakan yang diambil di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bertujuan melindungi penduduk tempatan dan warga asing dari Covid-19. 

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin juga mengecam agensi berita antarabangsa itu kerana sensasi laporan tersebut dan Menteri Kanan Ismail Sabri juga menuntut permohonan maaf daripada mereka.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah berkata laporan berita itu tidak hanya menggambarkan kisah yang tidak tepat mengenai bagaimana kerajaan menguruskan wabak itu tetapi juga melukiskan gambaran buruk negara ini. – 12 Julai, 2020.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen