Xenofobia menyatukan kita


KALAU di Malaysia ini berbilang kaum, memang susah untuk semua bersetuju dalam satu perkara yang sama.

Melayu tak setuju wujudnya sekolah jenis kebangsaan, orang Cina tak setuju cadangan satu aliran sekolah kebangsaan.

Dalam kaum Melayu sendiri pun susah nak setuju satu perkara.  Susah semua kaum ini nak bersependapat. 

Tetapi ada satu perkara kita boleh banggakan, kita bersatu teguh dalam satu perkara: xenofobia. 

Tak kira lah anda Melayu, Cina, India, Singh, atau Kadazan, mesti anda ini anti pendatang asing. Bukan setakat anti, anda benci pendatang asing. 

Lihat saja liputan Al Jazeera baru ini, masing-masing rakyat Malaysia melenting menafikan perkara ini tidak kira bangsa, warna kulit, atau agama.

Bukan setakat menafikan, malah mencaci dan menghina warga asing di negara kita ini. 

Pemahaman dan pemikiran xenofobia ini yang akhirnya memegang kita secara erat dan mengukuhkan perpaduan kita.

Tidak pernah dalam sejarah Malaysia semua kaum berbilang agama bersependapat dalam satu perkara. Kita patut bangga dengan pencapaian ini. 

Terdapat perbezaan dengan mengatakan ‘kami tidak mampu untuk menampung bilangan warga asing, pohon saudara mencari alternatif lain selain Malaysia’, dengan ‘pukul saja Bangla ini sampai dia lupa nama sendiri lepas itu kita hantar dia balik’. 

Tak segankah bercakap kasar begini, wahai rakyat Malaysia? 

Apa yang ditutur oleh mulut kita akan dijadikan teladan dan diulangi oleh anak-anak kita. Di mana perikemanusiaan kita? 

Saya yakin tiada satu agama pun di dunia kita ini yang membenarkan kita bertutur dan berpemikiran kasar sebegitu. 

Tingkatkan belas kasihan dan empati dalam diri kita ini, dan layan mereka sebagaimana kita mahu dilayan sekiranya kita berhijrah ke negara lain.

Baru-baru ini, saya pernah duduk semeja dengan beberapa kakitangan pihak berkuasa.

Terkejut mendengar pandangan mereka terhadap isu ini. Mereka ini berbeza pandangan terhadap parti politik, namun sebulat suara membenci warga asing, dan beranggapan warga asing ini seperti satu darjat rendah dari manusia biasa.

Masalah pendatang asing tanpa izin ini, tidak dinafikan merupakan satu masalah. Namun sikap kita terhadap isu ini juga merupakan satu lagi masalah. 

Apabila Al-Jazeera menyiarkan expose mereka terhadap layanan migran oleh pihak berkuasa, ingatkan akan ada respons positif dari kerajaan.

Salah sama sekali, pihak polis pula diarah untuk mengambil keterangan Al-Jazeera. 

Bukan itu sahaja, seorang migran di dalam siaran tersebut yang meluahkan perasaannya, diburu.

Yang sepatutnya berlaku iaitu proses mengenal pasti dan memperbaiki masalah tersebut, digantikan dengan witch hunt.

Terpapar nama beliau, dikehendaki, wanted. Seperti seorang penjenayah yang melarikan diri dari pihak berkuasa. 

Tidak ada pun tindak balas yang positif, seperti ingin membanteras isu tekong-tekong/pihak berkuasa yang membenarkan kemasukan warga asing tanpa izin.

Sikap dan pandangan ini tidak boleh diperbaiki, kecuali jika berpaksikan semula kepada moraliti dan ajaran agama. 

Sama ada anda Muslim, Hindu, Buddha, Kristian, pasti anda akan setuju, manusia hendaklah dilayan seperti manusia, dilayan dengan kebaikan dan bukan dengan kekasaran.

Darah migran mengalir merah juga, seperti darah kita. 

Jangan biarkan sikap xenofobia yang menyatukan kita semua. – 10 Julai, 2020.

* PakLi, pembaca The Malaysian Insight

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen