Kenal pasti kelemahan, Pakatan akan kembali utuh


KINI Pakatan Harapan (PH) punya hala tuju lebih jelas apabila kepercayaan dan sokongan diberikan sebulat suara kepada Anwar Ibrahim untuk memimpin gabungan tersebut.

Namun, amat penting buat PH mengenal kelemahan dan menganalisa kekurangan dalaman yang pastinya akan mengukuhkan tiang seri pakatan ini jika kembali lagi menjadi kerajaan kelak.

Kita semua tahu kerajaan PH jatuh kerana ketamakan dan pengkhianatan sesetengah pemimpin dalamannya sendiri. Kita sedia maklum akan hakikat itu.

Namun, jika dilihat dari sudut positifnya, kejatuhan PH membuka laluan lebih bersih untuk gabungan ini pada masa depan.

Tanpa pengkhianat yang loba, kini yang ada dalam PH adalah mereka yang benar-benar yakin akan perjuangan pakatan itu serta akan berusaha bersama-sama dalam memulangkan mandat rakyat pada tempatnya.

Ada yang kata, PH lemah kerana di sekeliling Dr Mahathir Mohamad, tidak ada yang berpengalaman dalam melaksanakan urus tadbir kerajaan. Ia mungkin tanggapan yang benar dan mungkin juga tidak. 

Kelemahan pastinya ada buat beberapa buah parti yang puluhan tahun di kerusi pembangkang, kemudian menjadi kerajaan.

Namun, untuk mengatakan pimpinan PH lemah total adalah satu kenyataan yang dengan mudah boleh disangkal.

Walaupun menjadi kerajaan dalam tempoh 22 bulan sahaja, pencapaian-pencapaian kerajaan PH masih memuaskan. 

Ini termasuklah kejayaan PH dalam meningkatkan kebajikan masyarakat, merancakkan semula ekonomi, mendakwa ahli-ahli politik yang terlibat dengan rasuah, membuat pembaharuan dalam sistem kerajaan, kehakiman dan pendidikan serta bersungguh-sungguh dalam pembangunan lestari.

Kejatuhan PH membantutkan segala usaha yang telah dirancang ataupun yang telah dilaksanakan.

Sudah tentu sukar bagi PH untuk menyusun dan memulihkan kerosakan negara kerana Barisan Nasional (BN) berkuasa selama 61 tahun lamanya. 

Ketika sibuk menguruskan negara yang dimusnahkan  dengan teruk oleh BN sebelumnya, pembangkang ketika itu terutamanya PAS-Umno bersungguh-sungguh ingin menjatuhkan PH dengan segala bentuk fitnah, tohmahan dan isu-isu perkauman yang sengaja dibesar-besarkan.

PH dilihat ampuh mematahkan segala tuduhan ini kerana fokus utama mereka tentu saja memulihkan negara yang rosak teruk akibat kerajaan sebelumnya. 

Malah, media massa rancak mengapi-apikan isu ini hingga PH dilihat gagal mengawal keadaan terutama apabila isu tulisan Jawi dan kematian Adib diperbesarkan oleh pembangkang ketika itu.

Ketika menjadi kerajaan, Parti Tindakan Demokratik (DAP) sering menjadi target mudah pembangkang untuk menyembur fitnah dan caci maki.

PH sebagai satu gabungan sebenarnya perlu bersama-sama melawan segala tohmahan itu dalam menampilkan pakatan yang utuh dan bersatu padu.

November 2019, Dr Mahathir menyebut PH lemah dalam komunikasi. Pencapaian PH amat memberangsangkan walaupun pada ketika itu belum pun dua tahun PH memerintah. 

Namun, segala pencapaian mereka tidak digembar-gemburkan dan akhirnya ditutup oleh segala fitnah dan naratif negatif yang dihangatkan oleh PAS-Umno ketika itu.

Rakyat perlu dimaklumkan dengan kerja-kerja dan pencapaian kerajaan.

Pada zaman di mana semuanya di hujung jari, amatlah penting untuk kerajaan ‘of the day’ turut sama aktif dalam menyebarkan kebaikan dan segala pencapaian mereka. Lihat saja kerajaan Muhyiddin sekarang. 

Sungguhpun merampas kerajaan dengan jalan paling kotor, ‘kebaikan’ yang dibesar-besarkan itulah yang menutup segala keburukan mereka.

Ini adalah pengajaran besar buat PH dan penting untuk diperbaiki dalam masa sekarang, juga apabila kembali menjadi kerajaan kelak.

Suara rakyat adalah suara keramat.

Mereka yang menaikkan PH walaupun setelah 61 tahun beberapa parti menjadi pembangkang sebelumnya.

Dengarkan suara mereka. Ambil perhatian akan perubahan masyarakat. Ia pastinya membantu PH untuk kembali dekat dengan rakyat dan sekali lagi diangkat menjadi kerajaan.

Pakatan Harapan adalah sebuah gabungan yang lebih bersih dan jelas kini.

Mungkin masih kurang angka, tapi yang tinggal kini hanya mereka dengan satu matlamat iaitu untuk mengembalikan mandat rakyat yang telah dirompak dengan kejam oleh pengkhianat juga kleptokrat!

Kelemahan ada untuk diperbaiki. Jatuh, pasti akan bangun lagi! – 10 Julai, 2020.

* Ghafar NS, pembaca The Malaysian Insight

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen