Kluster tabligh diisytiharkan tamat hari ini


Ragananthini Vethasalam

Setakat 8 Julai, sejumlah 42,024 individu dikaitkan dengan kluster tabligh yang hadir program di masjid Sri Petaling sudah menjalani proses saringan, di mana 3,375 diuji positif. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Julai, 2020.

KETUA Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mengisytiharkan bahawa kluster tabligh, iaitu kluster Covid-19 yang terbesar di negara ini, tamat selepas tiada jangkitan baharu dalam tempoh 28 hari.

Kes terakhir bagi kluster itu dilaporkan pada 11 Jun.

“Hari ini hari yang amat bermakna untuk negara ini dan kita telah berjaya melaluinya bersama,” kata Dr Noor Hisham pada sidang media harian berkenaan situasi Covid-19 dalam negara ini.

Setakat 8 Julai, sejumlah 42,024 individu dikaitkan dengan kluster itu sudah menjalani proses saringan, di mana 3,375 diuji positif.

Kluster itu menular hingga lima generasi, melaporkan 34 kematian.

Empat bulan sejak kes pertama kluster itu dikesan, tiada lagi kes aktif daripada kluster itu.

Dr Noor Hisham menambah yang wujud kemungkinan besar yang sumber jangkitan adalah dari luar negara yang menjangkiti penduduk tempatan.

“Jangkitan Covid-19 (kemudiannya) menular ke seluruh negara,” katanya.

Kes daripada kluster dan sub-kluster itu dikesan di tujuh negeri, menjangkiti 2,550 warga Malaysia dan 825 bukan warga dari 28 buah negara.

Daripada jumlah itu, 2,187 (64.8%) adalah kes positif tanpa gejala dan 87 lagi dirawat dalam ICU.

Dr Noor Hisham menyifatkan kejayaan mengekang kluster itu adalah hasil kerjasama KKM dan pelbagai agensi lain serta media yang memainkan peranan menyebarkan maklumat ke seluruh negara.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa Masjid Seri Petaling kerana sokongan dan kerjasama diberikan. – 8 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen