Syed Saddiq tarik balik saman berhubung pemecatannya dalam Bersatu 


Syed Saddiq merupakan antara mereka yang menyokong bekas pengerusinya Dr Mahathir Mohamad selepas Muhyiddin mengambil alih sebagai pemangku pengerusi Bersatu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai, 2020.

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini berkata, beliau menarik balik saman sivil berhubung pemecatannya sebagai ketua Pemuda Bersatu.

Ahli Parlimen Muar itu dalam satu kenyataan berkata, beliau tidak mahu melengahkan sesiapa daripada mengambil alih jawatannya.

“Kalau nak ambil parti, ambillah. Kalau nak buang nombor keahlian saya, buanglah. Saya tidak akan melengah-lengahkan usaha tuan-tuan sekalian,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Syed Saddiq berkata beliau tidak mahu lagi berada dalam parti sekiranya pemimpinnya tidak lagi memerlukannya.

“Apabila khidmat saya di dalam Bersatu dan Pemuda tidak diperlukan lagi, sudah tibanya masa untuk saya pergi,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan perancangannya untuk masa akan datang.

Kenyataan bekas menteri belia dan sukan itu dibuat beberapa jam selepas Bersatu hari ini mengumumkan naib ketua pemudanya Mohd Aizad Roslan akan mengetuai sayap parti itu.

Syed Saddiq merupakan antara mereka yang menyokong bekas pengerusinya Dr Mahathir Mohamad selepas Muhyiddin mengambil alih sebagai pemangku pengerusi dan menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional dengan Umno, PAS, Barisan Nasional dan GPS awal tahun ini.

Tidak lama selepas itu, Bersatu mengisytiharkan keahlian Syed Saddiq dan mereka yang bersama Dr Mahathir terbatal atas sebab mereka menentang parti dengan duduk bersama pembangkang di Parlimen pada 18 Mei lalu.

Dalam kenyataan itu, Syed Saddiq berkata, laluannya dengan mereka yang bersamanya bukan sesuatu yang mudah.

“Mereka yang sama haluan juga akan terima nasib yang sama. Diugut kiri kanan, disingkirkan jawatan dan dibuang jauh-jauh.” – 7 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen