Virus Covid-19 tampil sifat baharu setiap hari


terdapat kemungkinan ada mutasi pada G614 iaitu kod genetik virus Corona, sekali gus memungkinkan Covid-19 merebak dengan lebih cepat sekiranya berlaku perubahan. – Gambar EPA, 6 Julai, 2020.

KETUA Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mendedahkan pihaknya menemukan sifat baharu virus Covid-19 setiap hari sejak pandemik itu dilaporkan kira-kira enam bulan lepas, menunjukkan perbezaan virus berkenaan dengan virus Corona yang lain.

“Dibandingkan koronavirus yang lain, Covid-19 sifatnya mudah untuk merebak. Kalau kita lihat Covid-19, dalam tempoh enam bulan ini sudah menjangkiti lebih 10 juta penduduk dunia,” katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya.

Menurutnya aspek itu menunjukkan kemungkinan ada mutasi pada G614 iaitu kod genetik virus tersebut, sekali gus memungkinkan Covid-19 merebak dengan lebih cepat sekiranya berlaku perubahan.

Sehubungan itu katanya Institut Penyelidikan Perubatan diarah menjalankan kajian mengenai mutasi virus Covid-19 bagi mengetahui sifat virus berkenaan, sekali gus membantu Kementerian Kesihatan (KKM) mencipta vaksin dan menentukan rawatan terbaik terhadap pesakit. 

”Lebih banyak kajian perlu dijalankan untuk mengetahui sama ada mutasi-mutasi Covid-19 yang berlaku akan menjadikan virus tersebut super spreader,” katanya.

Mengulas mengenai kluster perhimpunan Masjid Seri Petaling yang merekodkan hanya satu kes positif Covid-19 yang aktif pada hari ini, Noor Hisham berkata kejayaan itu adalah hasil kerjasama bersepadu semua pihak yang mengesan serta mengawal penularan dalam kalangan peserta perhimpunan tersebut.

“Kerjasama daripada jemaah tabligh juga baik. Mereka bekerjasama dengan KKM untuk tampil melaksanakan ujian. Kalau kita bekerjasama dengan bersepadu antara kerajaan dan orang ramai, nescaya kita dapat membendung penularan jangkitan Covid-19 dalam negara kita,” katanya.

Beliau berkata pengawasan dan pemantauan bagi kluster perhimpunan itu mungkin dapat ditamatkan dalam tempoh satu atau dua minggu lagi. – Bernama, 6 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen